
Thailand mencatat sejarah baharu dalam dunia ratu cantik antarabangsa apabila wakilnya, Opal Suchata Chuangsri, dinobatkan sebagai Miss World 2025, sekali gus menjadi rakyat Thailand pertama memenangi pertandingan tersebut sejak ia diperkenalkan 72 tahun lalu.
Pelajar berusia 21 tahun itu meraih gelaran tersebut pada pertandingan akhir Miss World ke-72 yang berlangsung di Pusat Konvensyen HITEX, Hyderabad, di negeri Telangana, India, malam tadi.
Kemenangan Opal disambut meriah oleh rakyat Thailand, khususnya para peminat ratu cantik dan tokoh-tokoh industri tempatan.
Opal berjaya menewaskan 108 peserta lain dari seluruh dunia dan menerima mahkota daripada juara edisi terdahulu, Krystyna Pyszková dari Republik Czech.
Tempat kedua pertandingan ini disandang oleh wakil Ethiopia, Hasset Dereje Admassu, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Maja Klajda dari Poland dan Aurelie Joachim dari Martinique.
BACA JUGA: Wakil Denmark Dinobat Sebagai Miss Universe 2024. Nigeria Di Kedudukan Naib Juara
Kemenangan ini juga dianggap sebagai pengubat kekecewaan buat Opal selepas beliau hanya meraih tempat keempat dalam pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico, biarpun dia merupakan peserta pilihan untuk memenangi gelaran utama.
Di pentas Miss World, Opal menyerlah dalam sesi temu bual sejak awal lagi. Ketika sesi pusingan akhir soal jawab, beliau ditanya mengenai maksud kebenaran dan tanggungjawab dalam membentuk naratif sebuah kisah.
“Setiap individu di dewan ini adalah contoh buat orang sekeliling mereka. Cara terbaik untuk memimpin ialah dengan keanggunan dan tindakan. Itulah sumbangan terbaik yang boleh kita berikan kepada dunia,” jawabnya.
Walau bagaimanapun, laluan Opal ke pertandingan Miss World tidak terlepas daripada kontroversi.
Pada 22 April lalu, gelaran pemenang tempat keempat Miss Universe yang disandangnya ditarik balik, hanya beberapa minit selepas TPN Global mengumumkan kerjasama dengan syarikat hiburan Tero Entertainment bagi menghantar beliau menyertai Miss World.
Berasal dari Phuket, Opal membesar dalam keluarga yang menguruskan perniagaan hotel. Beliau bukan berdarah kacukan seperti kebanyakan ratu cantik Thailand terdahulu, namun fasih berbahasa Inggeris dan Cina kerana mengikuti pendidikan antarabangsa sejak kecil.
Kini, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Fakulti Sains Politik, Universiti Thammasat.
Sementara itu, wakil Malaysia, Saroop Roshi, terpaksa berpuas hati apabila perjalanannya dalam pertandingan ini terhenti di kedudukan Top 40 secara keseluruhan dan Top 10 Miss World Asia & Oceania.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI