
Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris mengakui bukan mudah untuk mencari komposer yang memiliki pengetahuan serta jiwa yang mendalam terhadap muzik etnik bagi menghasilkan karya baharu yang bakal dihasilkan benar-benar menepati identiti dan perjuangannya.
Menurut Noraniza, dia sudah hampir dua tahun mencari lagu baharu, namun masih belum menemukan karya yang benar-benar sesuai dengan konsep muzik yang ingin terus diperjuangkannya.

“Saya sebenarnya sudah dua tahun mencari lagu baharu. Namun, saya belum temui lagu yang betul-betul sesuai dengan saya. Saya tak mahu terlalu mengikut trend sekarang.
“Saya mahu terus perjuangan muzik irama Malaysia yang pernah saya bawakan dahulu. Bila kita beri tanggungjawab untuk menulis lagu kepada komposer-komposer baharu, mereka terikat dengan konsep sekarang dan ada juga yang turut menggabungkan muzik AI.
“Bila konsep itu tidak seiring, jadi kerjasama itu tidak dapat diteruskan, saya anggap tiada rezeki,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Ngajat Tampi itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Tradisional Gema Bumantara, baru-baru ini.
Persoal Keaslian Karya Muzik Etnik
Noraniza berpendapat, ada beberapa faktor yang menyebabkan karya yang benar-benar mengekalkan identiti muzik etnik kini semakin sukar diperolehinya.

“Karya yang seperti itu agak susah nak dapat. Mungkin pengetahuan dan jiwa komposer-komposer ini terhadap lagu etnik agak kurang tapi kita ada banyak rujukan.
“Namun, mereka lebih memilih untuk mencipta konsep yang bercampur baur. Bila kita dengar lagu itu, kita tertanya-tanya dimanakah keasliannya.
“Ia seperti bercampur-campur dengan pelbagai genre dalam dan luar negara. Saya pun keliru dengan konsep sedemikian.
“Nak cari komposer yang betul-betul boleh cipta lagu yang saya mahukan itu, adakah mereka sudah pupus?,” ujarnya lagi.
Teruja Berganding Bahu Dengan Hafiz Hamidun
Dalam perkembangan sama, Noraniza meluahkan keterujaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun, yang disifatkannya sebagai antara karyawan yang memiliki pendekatan kerja serta jiwa Melayu yang kuat.

“Saya teruja bekerjasama dengan Hafiz Hamidun. Cara kerjanya sama seperti Arwah Pak Ngah. Dia juga senang untuk dibawa berbincang. Cara kerjanya juga sangat cepat.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya tak sangka dia punyai jiwa Melayu yang sangat kuat. Saya rindu nak kerja dalam situasi begini. Jila tiada aral melintang, ia bakal menjadi single baharu saya yang pertama.
“Kini saya sedang mengumpulkan lagu untuk mencukupkan kuota tahun ini,” akhirinya.
Terdahulu, Noraniza diumumkan sebagai antara artis jemputan yang bakal menjayakan Konsert Tradisional Gema Bumantara.
Noraniza Idris atau mesra disapa Kak Ani akan memeriahkan konsert tersebut bersama Haziq Rosebi serta dua penyanyi popular Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

