
Selepas mencipta fenomena menerusi single Bukan Lagi Kita yang meraih lebih 100 juta penstriman di semua platform digital selain mendominasi carta muzik tempatan, Nadeera kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul Cuba Jadi Aku.
Menampilkan sisi Nadeera yang lebih matang dari segi penceritaan, Cuba Jadi Aku mengangkat kisah luka yang ditinggalkan oleh insan yang pernah dicintai sepenuh hati.
Menggabungkan melodi pop balada kontemporari dengan sentuhan rock moden serta susunan muzik yang dramatik, lagu ini mengangkat tema kekecewaan, pengkhianatan dan kesakitan yang sukar difahami oleh mereka yang menjadi punca kepada luka tersebut.
Malah ia turut selain menggambarkan kekuatan seseorang untuk bangkit daripada segala kepayahan yang dilalui.
Lagu ini mengisahkan seorang insan yang telah memberikan sepenuh hati dan kepercayaannya kepada seseorang, namun akhirnya terpaksa menanggung luka yang ditinggalkan.
Apa yang diharapkannya hanyalah agar insan tersebut dapat memahami dan merasai sendiri segala kesakitan yang dialaminya.
Mesej itu diterjemahkan menerusi korus yang menjadi nadi utama lagu ini.
Keistimewaan Cuba Jadi Aku turut terserlah menerusi gandingan komposer Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang sekali lagi membuktikan sentuhan magis mereka dalam menghasilkan karya berkualiti.
“Antara Lagu Yang Paling Dekat Dengan Hati Saya.”
Menurut Nadeera, Cuba Jadi Aku merupakan antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mesej yang dibawakan begitu jujur dan cukup dekat dengan pengalaman ramai.
“Apabila saya pertama kali mendengar lagu ini, saya terus merasakan kekuatan emosinya. Saya percaya ramai yang pernah berada dalam situasi di mana mereka terluka tetapi sukar untuk meluahkan apa yang dirasai.
“Kadang-kadang kita cuma berharap orang yang menyakiti kita benar-benar memahami apa yang kita lalui. Itulah intipati lagu ini.
“Saya sangat teruja untuk berkongsi ‘Cuba Jadi Aku’ dengan semua peminat dan berharap ia dapat menyentuh hati mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.
Bagi melengkapkan penceritaan lagu tersebut, video muzik (MV) rasmi Cuba Jadi Aku menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana sebagai watak utama dalam sebuah kisah cinta yang diuji dengan kehadiran orang ketiga.
Watak yang dibawakan Ariana menjadi pencetus konflik dalam hubungan berkenaan, sekali gus menghidupkan lagi emosi serta mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu itu.

Baca Artikel Lain;
Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam berkata, pihaknya berbangga melihat perkembangan seni Nadeera yang terus menunjukkan peningkatan menerusi setiap karya yang dihasilkan.
Anda mungkin berminat dengan
“Sejak awal lagi kami melihat potensi besar dalam diri Nadeera. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyampaikan emosi menerusi nyanyian dengan begitu jujur dan berkesan.
“Kejayaan ‘Bukan Lagi Kita’ membuktikan kekuatannya sebagai seorang penghibur, dan kami percaya ‘Cuba Jadi Aku’ akan memperlihatkan sisi Nadeera yang lebih matang dari segi vokal dan penceritaan.
“Kami juga sangat berbangga dengan pencapaian Nadeera yang semakin menyerlah termasuk peluang mewakili Malaysia di pelbagai pentas antarabangsa.
“Dia bukan sahaja membawa nama Rocketfuel Entertainment, tetapi turut membawa nama negara dengan penuh cemerlang.
“Kami percaya ‘Cuba Jadi Aku’ mempunyai semua elemen untuk menjadi sebuah karya yang dekat di hati masyarakat dan meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina oleh Nadeera selama ini,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

