
Sumbangan penyanyi yang kini bergelar pensyarah, Najwa Latif terus dihargai apabila menjadi antara anak Johor yang diraikan sempena pembukaan cawangan ke-21 jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset di Toppen Tebrau, Johor Bahru.
Anak kelahiran Batu Pahat itu mencipta nama dalam industri muzik sejak usia remaja sebelum meneruskan perjalanan dalam bidang akademik dan kini bergelar pensyarah TESL di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Penghargaan terhadap Najwa menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia dan ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset yang memilih untuk meraikan anak-anak Johor yang mencipta kejayaan, memberi inspirasi serta berbakti kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, pihaknya berbesar hati dapat meraikan pembukaan cawangan terbaharu bersama individu yang mempunyai kisah dan sumbangan tersendiri kepada Johor.
“Kami teruja dan berbesar hati mendapat peluang meraikan pembukaan cawangan ke-21 bersama Anak-Anak Johor yang diundang khas memeriahkan majlis pada hari ini.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran dengan membawa cerita, pengalaman istimewa serta kisah inspirasi yang tersendiri.
“Sudah tentu kami juga amat mengagumi khidmat bakti mereka terhadap negeri yang disayangi ini,” katanya.
Selain Najwa, turut menerima penghargaan ialah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas muncul juara Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
Malah, jenama itu turut menghargai sumbangan profesional komunikasi korporat, Yusuf Hassan yang merakam pelbagai kisah berkaitan organisasi tempatnya bertugas, meliputi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), budaya hingga kisah masyarakat menerusi karya visual garapannya.
Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari pula diraikan sebagai wakil generasi muda yang terus menghidupkan seni dan ekspresi budaya menerusi persembahan mereka, selain menempa nama di persada antarabangsa.
Majlis pembukaan berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisi dan sesi penghargaan, selain diskaun serta promosi istimewa kepada pengunjung.



Baca Artikel Lain;
Johor Bahru Jadi Batu Loncatan Ke Pasaran Serantau
Dalam pada itu, pembukaan cawangan di Johor Bahru membawa perancangan lebih besar buat Bayu Somerset apabila bandar raya berkenaan bakal dijadikan hab strategik untuk memperluaskan pasaran ke Singapura dan Indonesia.
Menurut Dania, kedudukan Johor Bahru sebagai destinasi membeli-belah popular dalam kalangan pelancong dari kedua-dua negara itu membuka peluang kepada Bayu Somerset untuk meneroka pasaran antarabangsa.
“Kita sedia maklum Johor Bahru adalah destinasi membeli-belah utama, terutama untuk pelanggan dari Singapura dan juga Indonesia.
“Kami sudah menyediakan pelan strategik untuk menarik minat mereka terhadap jenama kami, sekali gus membuka peluang kepada Bayu Somerset menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.
Dania menjelaskan, pembukaan cawangan berkenaan bukan sekadar menambah rangkaian perniagaan, sebaliknya menjadi langkah penting untuk mendekati kelompok pelanggan baharu dari pasaran serantau.
Anda mungkin berminat dengan
“Johor Bahru mempunyai kelebihan tersendiri kerana menjadi pintu masuk kepada pelanggan Singapura dan Indonesia.
“Kami melihat potensi itu dan mahu menggunakan kedudukan Johor Bahru sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan Bayu Somerset kepada lebih ramai pelanggan luar negara,” ujarnya.
Sempena pembukaan cawangan itu, Bayu Somerset turut menyediakan diskaun istimewa serta hadiah eksklusif untuk anak-anak Johor dan pengunjung sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia.
Ditubuhkan pada 2021, Bayu Somerset merupakan jenama fesyen gaya hidup tempatan yang memberi fokus kepada usaha mentakrifkan semula busana tradisional supaya lebih relevan dengan generasi masa kini.
Pembukaan cawangan ke-21 itu sekali gus menandakan fasa baharu perkembangan jenama berkenaan dalam memperkukuhkan pasaran domestik sebelum melangkah lebih jauh ke pasaran serantau.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

