Kecoh Cerita Orang Minyak Pecah Rumah Di Melaka

Di Melaka baru-baru ini heboh tentang kononnya kediaman beberapa kawasan di negeri itu telah dimasuki oleh orang minyak.

Berita ini telah mula tersebar dan tular di laman Facebook dan Whatsapp yang mendakwa orang minyak ini menjadikan kawasan perumahan di negeri itu sebagai sasaran utama.

Namun Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad telah menafikan berita itu.

IKLAN

Beliau juga telah menasihatkan agar orang ramai mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan berita tidak benar ini menjadi tular dan membuatkan ramai orang berasa takut.

“Sekiranya ada tangkapan awam (terhadap penjenayah) perlu dimaklum dan diserah kepada pihak berkuasa tanpa mengambil tindakan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, pihak yang menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 211 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran berita palsu seumpama ini,” katanya lagi.

Dia berkata lagi jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 serta boleh dipenjara tidak lebih dari satu tahun.

Afzarnizar mengingatkan orang ramai lagi untuk membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan jika berlaku sebarang perlakuan jenayah di kawasan mereka.

IKLAN

Beliau juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan individu-individu yang ditangkap kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian