
Penerbit daripada rumah produksi Jaja Ishak Channel, Jaja Ishak memilih untuk menggunakan kesempatan berada di Kuantan, Pahang atas urusan penggambaran dengan melakukan kerja kebajikan bersama anak-anak yatim dan golongan asnaf, baru-baru ini.
Menurut Jaja, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama penghuni Rumah Anak-Anak Yatim & Asnaf Permata Camar itu tercetus secara spontan, tanpa melalui perancangan yang terperinci.
Penerbit drama bersiri Boss Kid ini mengambil keputusan untuk singgah sebelum menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit dan makanan.

Haqiem Rusli Turut Sama Hulur Tangan
“Kebetulan saya ada urusan kerja di Kuantan dan ketika melalui kawasan persisiran pantai, saya teringat Rumah Anak-Anak Yatim & Asnaf Permata Camar.
“Dari situ saya tergerak hati untuk singgah dan akhirnya program CSR itu berlaku secara spontan selepas berhubung dengan kakitangan pihak berkaitan,” katanya.
Momen tersebut menjadi lebih bermakna apabila penyanyi Haqiem Rusli turut menyertai Jaja dalam kunjungan berkenaan.
Menurut Jaja, dia mengetahui Haqiem juga berada di Pahang ketika itu selepas mereka sempat berhubung menerusi media sosial.
Kesempatan tersebut membuatkan Jaja terus mempelawa penyanyi lagu Tergantung Sepi itu untuk bersama-sama turun menyantuni anak-anak yatim dan golongan asnaf.
“Saya difahamkan Haqiem berada Pahang atas komitmen kerja juga. Kebetulan ketika itu kami bersembang di media sosial, lalu saya pelawa dia untuk sertai kerja amal ini dan terus bersetuju.
“Walaupun semuanya tidak dirancang dengan begitu teliti, Alhamdulillah urusan kami dipermudah dan program berjalan dengan lancar. Sempat juga berbual-bual dengan mereka dan para kakitangan,” katanya lagi.

Tak Perlu Tunggu Kaya Untuk Membantu
Mengakui kerja kebajikan yang dilakukannya sebelum ini jarang dikongsikan, Jaja bagaimanapun berpendapat inisiatif yang dilakukan diharap mampu memberi inspirasi untuk sama-sama meringankan beban golongan sasaran.
Malah baginya, nilai sesebuah sumbangan juga bukan terletak pada besar atau kecil jumlahnya, sebaliknya pada keikhlasan serta kesediaan seseorang untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing.
“Bagi saya, kita perlu sedar rezeki dan kelebihan yang kita ada boleh dikongsi dengan mereka yang memerlukan.
“Tak perlu tunggu kaya raya baru nak menderma. Apa yang kita mampu, kita kongsi. Kadang-kadang apabila hati dah tergerak untuk buat kebaikan, kita terus buat sahaja. Kalau terlalu banyak merancang pun belum tentu menjadi.
“Kalau CSR seperti ini, rasanya sudah hampir 20 tahun kami buat, syukur sama-sama dapat berkongsi rezeki. Cuma selama ini kami tak uar-uarkan.
“Tahun ini syarikat kami akan sediakan kit pengurusan jenazah untuk membantu penduduk yang memerlukan di beberapa lokasi kampung misalnya.
Anda mungkin berminat dengan
“Banyak atau sedikit bukan ukuran utama. Apa yang penting, kita ikhlas dan buat berdasarkan kemampuan.
“Kita tak tahu siapa yang akan bantu kita suatu hari nanti. Sebab itu pada saya, kalau ada peluang untuk buat baik, buat sahaja.
“Tak ada salah untuk saling berbuat baik. Insya-Allah kebaikan itu akan kembali kepada kita dalam bentuk yang mungkin kita sendiri tak jangka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jaja yang baru sahaja selesai menerbitkan sebuah drama episod lakonan Farah Nabilah dan Shahz Jaszle, sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah lagi projek drama bersempena Ramadan tahun ini.
Penggambaran tersebut bakal dijalankan November depan di Pahang dan kini produksinya masih mengenal pasti beberapa pelakon yang akan terbabit dalam projek itu nanti.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

