
Selebriti terkenal, Noor Neelofa akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata ketiga.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Neelofa sewaktu menjadi tetamu audio siar Habis Cerita Podcast yang dikendalikan pelakon Nora Danish dan rakan pengacara, Natasha Ozeir.
Jelas Neelofa, sejak kehamilan terdahulu, dia sebenarnya tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai perkara tersebut. Namun, perubahan fizikal yang dialaminya membuatkan orang ramai mudah mengetahui dirinya sedang berbadan dua.
“Saya tiada apa-apa pengumuman yang ingin dibuat tapi rasanya anda boleh lihat sendiri. Sebelum ini, saya tidak pernah umumkan pun tentang kehamilan.
“Satu perkara mengenai diri saya, bila saya hamil, orang akan memang boleh nampak (perubahan fizikal). Sesetengah orang mungkin susah nak nampak.
“Kalau saya silap pilih baju, memang anak nampak jelas. Dari situ, orang akan mudah tahu saya hamil,” katanya.
Usaha Dapatkan Zuriat Ketiga Ambil Masa
Dalam masa sama, isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu turut mendedahkan kehamilan kali ini bukan sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa mencuba pelbagai ikhtiar, termasuk mendapatkan rawatan moden selepas usaha untuk mendapatkan zuriat ketiga tidak semudah seperti kehamilan sebelum ini.
“Kehamilan kali ini, ia agak mengambil masa. Ketika hamil anak pertama dan kedua, ia berlaku tanpa dirancang dan sangat mudah. Kali ketiga ini, saya merancang untuk TTC (Trying to Conceive).
“Malah, ia juga mengajar saya untuk faham perasaan orang-orang yang susah nak mengandung. Selama ini, saya tidak pernah mengalami kesusahan itu.
“Bila saya buat pemeriksaan dan pergi ke pusat kesuburan, saya bertanya apa masalah saya? Jawapan doktor mesti tanya tentang kehamilan sebelum ini.
“Ada apa-apa halangan atau pernah jalani rawatan, saya kata tidak. Saya mengandung dan melahirkan secara normal.
“Ramai doktor menasihati saya untuk tidak teruskan dahulu prosedur ini. Mungkin saya tidak cukup rehat,” ujarnya lagi.

Doa Di Tanah Suci Akhirnya Dimakbulkan
Sementara itu, Neelofa turut bersyukur apabila doa yang dipanjatkan akhirnya dimakbulkan Allah SWT sebaik pulang menunaikan umrah.
“Jadi, saya letakkan garis masa. Jika, sebelum Januari masih belum hamil, saya akan buat IVF.
“Kemudian saya terfikir, saya sudah usaha bermacam-macam cara tapi adakah saya sudah benar-benar usaha meminta doa?
“Saya tahu yang saya belum cukup kuat mengetuk pintu doa Allah itu. Usaha itu mungkin belum cukup. Selepas Hari Raya Aidilfitri, saya minta izin kepada suami untuk tunai umrah.
Anda mungkin berminat dengan
“Sebelum ke umrah, saya berusaha doa pada malam-malam mustajab khusus untuk hamil. Bila tunai umrah, saya ada doa-doa khusus termasuklah untuk hamil. Saya berdoa ‘all out’.
“Saya nak sangat hamil tapi tak pasti ia baik atau tidak untuk saya. Saya berdoa sampai merengek-rengek.
“Dua minggu selepas pulang, saya disahkan hamil. Allah jawab doa saya selama setahun ini,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Neelofa belum mahu mengesahkan dakwaan dirinya sedang hamil anak ketiga ketika ditemui dalam satu temu bual.
Sebaliknya, dia meminta orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya selain memaklumkan akan berkongsi berita tersebut apabila tiba waktu yang tepat.
Untuk rekod, Neelofa mempunyai dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas, hasil perkahwinannya dengan pendakwah, Haris Ismail.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

