Selepas menerima hadiah berupa sebuah motosikal baharu daripada pempengaruh Aisar Khaled, kini giliran pelakon dan pelawak, Achey pula ingin membantu penunggang p-hailing yang motosikalnya disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Rabu.

Menurut Achey, dia memuji sikap pemandu p-hailing tersebut kerana mengakui kesilapannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

“Assalamualaikum. Berkenaan ‘Abang Panda’ yang motosikalnya itu, saya sudah cuba hubunginya dan nama dia Shahrul dan berumur 26 tahun.

“Alhamdulillah dia dapat sebuah motosikal daripada Aisar Khaled. Dia pun sudah bagitahu yang dia tidak akan berikan apa-apa kenyataan dan mengaku salahnya,” katanya.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pelakon filem Mat Tudung Begins itu menerusi sebuah hantaran video di Aplikasi Tik Tok.

Pada masa sama, Achey turut memaklumkan dia akan membantu pemandu p-hailing tersebut untuk mengambil semula motosikal yang disita selain turut akan menampung segala kos untuk membaik pulih.

IKLAN

“Budaknya bagus dan bercakap pun lembut. Motosikalnya disita sebab cukai jalan mati, tiada penutup rantai dan cermin sisi kiri.

“Motosikal tersebut akan diambil di JPJ Senawang. Namun, saya sudah pun bercakap dengan dia, apa-apa kos untuk ambil semula atau membaiki motosikal itu, jangan sampai keluar duit sendiri.

“InsyaAllah Tiara Candy sudi membantu,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan tersebut selain turut mendoakan semoga Achey sentiasa dimurahkan rezeki.

IKLAN

“Terima kasih Aisar Khaled dan Achey. Semoga anda berdua dikurniakan rezeki berlipat kali ganda.

“Alhamdulillah, rezeki Syahrul. Rakyat Malaysia memang perihatin.

“Alhamdulillah, lega dengar. Ramai yang menjadi perantara rezeki daripada Allah untuk saudara Syahrul. Semoga murah rezeki untuk semua yang sudah membantu.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa semua yang bantu Syahrul,” antara komen-komen netizen.

IKLAN

Terdahulu, video yang memaparkan pemandu p-hailing tersebut terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita pihak JPJ ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya telah tular di seluruh platform media sosial.

Malah, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf turut menjelaskan motosikal pemandu p-hailing berkenaan telah disita kerana tidak memiliki cukai jalan dan insurans.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram & Tik Tok Achey

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI