
Pelakon Syazani Zikry Zainul Hakim kini sah bergelar suami kepada suri hati pilihannya, Sofiah Abu Bakar, selepas selamat diijabkabulkan dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di The Square, A-Park, Puchong, pagi tadi.
Majlis akad nikah tersebut disempurnakan oleh jurunikah, Ustaz Idrus, dengan Sofiah diwalikan bapaknya, Abu Bakar Ismail.


Dalam majlis tersebut, Syazani menyerahkan wang hantaran sebanyak RM20,000, manakala mas kahwin berupa seutas gelang emas.
Pengantin lelaki turut membawa lima dulang hantaran yang dibalas dengan tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Kenal Menerusi Rakan Universiti
Berkongsi mengenai detik awal perkenalan mereka, Syazani berkata, dia mengenali Sofiah menerusi rakan universiti yang juga jiran kepada isterinya itu.


“Saya kenal dengan Sofiah melalui Amelia, rakan universiti saya.
“Mula-mula saya ternampak gambar Sofiah di Instagram Amelia dan terus minta Amelia tanyakan statusnya sebelum saya sendiri mendekati untuk berkenalan.
“Rupanya mereka berdua jiran,” katanya.
Menurut Syazani, proses untuk mengenali Sofiah mengambil sedikit masa sebelum hubungan mereka menjadi lebih serius.
Difahamkan, mereka mula berkenalan pada Januari 2025 dan selepas kira-kira 10 bulan, dia memberanikan diri untuk bertanya sama ada Sofiah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersamanya.
“Apabila melihat gambar Sofiah melalui Instagram, saya terus terdetik hati bahawa mungkin dialah orangnya.
“Hasrat untuk saya berkahwin memang sudah ada, tetapi tidak sangka ia datang seawal ini.
“Semasa proses mengenali Sofiah, saya terus bertanya jika dia mahu berkahwin selepas 10 bulan berkenalan,” ujarnya lagi.
Sofiah Faham Tuntutan Kerjaya
Mengulas mengenai kerjanya selepas bergelar suami, Syazani berkata, Sofiah adalah individu yang sangat memahami tuntutan kerjaya dan tidak pernah menghalang perjalanan seninya.

Anda mungkin berminat dengan

“Alhamdulillah, Sofiah seorang yang sangat memahami kehendak kerja saya dan tidak pernah menghalang apa-apa.
“Saya akan teruskan perjuangan karier seni saya seperti biasa dengan matlamat yang lebih besar. Perjalanan saya masih jauh,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan cahaya mata, Syazani berkata mereka belum menetapkan sebarang perancangan buat masa ini kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing.
Sebelum ini, Syazani pernah terlibat dalam filem komedi gelap, Angkat, arahan pengarah Feisal Azizuddin.
Selain Syazani, turut membintangi filem tersebut adalah Sky Iskandar, Firdaus Karim dan Sara Mack Lubis.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

