Pelawak dan pelakon, Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid baru-baru ini mendedahkan, tahap kesihatan dirinya tidaklah begitu baik.

Pendedahan tersebut dilakukan bintang berusia awal 50-an ini, seperti yang dipetik Astro Awani.

Ebby pernah melalui detik sukar apabila doktor mengesahkan dia menghadapi masalah lemah jantung selain kebocoran buah pinggang sejak setahun setengah lalu.

Malah difahamkan sepanjang tempoh itu juga, pelakon komedi senior itu tidak berupaya melakukan kerja berat kerana tiada kudrat.

“Setahun setengah juga saya tak bekerja. Bukan tak mahu kerja, tapi saya tidak ada kemampuan,” katanya.

IKLAN

Terdahulu, Ebby pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1998.

Seiring perubahan masa, doktor yang merawat memaklumkan, keadaan jantungnya hanya mempunyai lebih 20 peratus tahap kekuatan sedangkan untuk manusia normal bacaan kekuatan jantung yang diperlukan ialah 60 peratus.

“Itu yang doktor maklumkan pada saya berhubung keadaan jantung saya. Pada masa ini, saya hanya bergantung pada ubat, tapi Alhamdulillah saya sihat, tak adalah sakit teruk.

IKLAN

“Demikian juga dengan buah pinggang saya, ada alami kebocoran dan saya juga sedang menjalani rawatan,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, atas ujian terhadap status kesihatannya kini, Ebby akur bahawa pendapatannya turut terjejas kerana dia tidak mampu bekerja.

IKLAN

Bagaimanapun, Ebby menjelaskan selagi mampu, dia akan bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara hidup.

“InsyaAllah berkat rawatan yang saya jalani, doa keluarga dan kawan-kawan saya sudah mampu untuk kembali bekerja. Saya sentiasa percaya rezeki Allah yang tentukan.

“Alhamdulillah tawaran berlakon juga sudah diterima dan saya akan kembali aktif secara perlahan-lahan,” kata Ebby yang tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur pada Allah kerana atas rezekiNya.

Sumber: Astro Awani

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI