Berita

Bisikan Dari Dunia Yang Tidak Terlihat, Marmadesam Kini Di Astro Vinmeen

Share

Penerbit dan penyampai radio, Punnagai Poo Gheetha mengakui teruja apabila projek Marmadesam yang pada asalnya bermula sebagai sebuah program radio sebelum berkembang ke podcast, kini diadaptasi pula ke kaca televisyen.

Menurut Geetha, penghasilan siri berkenaan hadir dengan cabaran lebih besar memandangkan jangkaan penonton terhadap karya tersebut semakin tinggi selepas melalui dua platform siaran terdahulu.

“Jika ada yang belum tahu, Marmadesam bermula sebagai sebuah program radio dan kemudian bergerak ke podcast pula. Selepas itu, Astro mahu membawanya ke kaca TV pula.

“Ketika bersiaran di program radio dan podcast, ia sudah menjadi tanggungjawab yang besar. Bila bergerak ke tv, cabarannya bukan mudah.

“Ekspektasi juga sangat tinggi. Saya rasa bertanggungjawab dan agak tertekan untuk mencari pengarah dan pasukan produksi untuk jayakan projek ini,” katanya kepada MH.

Setiap Episod Berbeza, Himpun 34 Artis

Penyampai radio THR Raaga ini menambah, cabaran menghasilkan Marmadesam juga berbeza berbanding siri drama biasa kerana setiap episod menampilkan jalan cerita yang berlainan dan tidak berkait antara satu sama lain.

“Jika siri biasa tak mengapa lagi. Selalunya kita hanya akan bermain di beberapa lokasi dan melibatkan lima atau enam orang pelakon utama. Untuk drama ini, setiap episod tidak berkait.

“Kita mengumpulkan hampir 34 artis dan hampir 70% adalah pelakon baharu. Kami mahu berikan peluang kepada mereka.

“Kita jalani penggambaran di banyak lokasi. Setiap episod kita perlu pakai tiga hingga empat lokasi. Kita ada 16 episod kesemuanya,” ujarnya lagi.

Bercerita soal pengalaman sepanjang menjalani penggambaran, Geetha berkata pihak produksi turut berdepan pelbagai kejadian tidak dijangka sehingga menguji kesabaran seluruh pasukan.

“Kisah ini saya dengar daripada pengarah. Ketika menjayakan satu episod, kita sebenarnya sudah biasa menghadapi cubaan. Namun, kali ini cubaannya sangat berbeza.

“Ketika menjalani penggambaran di tanah perkuburan dan melibatkan hampir 15 artis, tiba-tiba hujan lebat dan suasana jadi agak teruk.

“Kemudian, bila kita jalani penggambaran di sebuah hutan yang memang tiada kemudahan lampu dan hanya ada satu kuil, bila kita nak mula, tiba-tiba generator mati. Kunci pula tersangkut dan patah.

“Selepas itu, pembantu penerbit pula terlanggar lori generator. Pada hari itu sahaja kita ada hampir tujuh dugaan,” kongsinya.

Ravi Zephyr Teruja, Munabella Mahu Karya Seram Diperluas

Sementara itu, pempengaruh Ravi Zephyr turut menyatakan keterujaannya untuk menyaksikan siri berkenaan, lebih-lebih lagi kerana dirinya merupakan peminat genre seram.

“Saya memang sangat teruja untuk menantikan drama ini. Saya tak sabar nak tahu sama ada mereka berjaya menakutkan saya atau tidak. Saya sangat sukakan genre seram.

“Namun, tak banyak karya yang mampu menakutkan saya. Saya berharap siri ini dapat memenuhi ekspektasi para peminat genre seram,” kongsinya.

Dalam pada itu, penyampai radio Munabella menyifatkan Marmadesam sebagai satu peluang untuk memperluaskan lagi pilihan karya seram kepada penonton tempatan menerusi siri berbahasa Cina dan Tamil.

“Bila bercakap tentang genre seram di Malaysia ini, kita akan tertumpu kepada karya dalam Bahasa Melayu. Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk kita menikmati karya-karya dalam Bahasa Cina dan Tamil.

“Bila kita luaskan lagi tontonan, kita dapat melihat karya-karya daripada pembikin-pembikin seni menerusi sudut pandang yang lain.

“Bagus juga kalau kita terus explore. Sebenarnya ada banyak lagi judul-judul yang menarik tapi ramai orang tidak tahu. Saya harap Marmadesam dapat membuka mata semua yang menyukai filem seram.

“Yang tak suka juga pun boleh cuba menonton,” katanya lagi.

Saksikan Marmadesam bersiaran pada setiap Jumaat jam 9.30 malam di saluran Astro Vinmeen. Langgan Astro X3 dan aplikasi sooka.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf