
Boygroup M-pop baharu, Lucky Nerds tampil dengan single pertama mereka yang berjudul Lucky Nerds (Anthem), iaitu sebuah karya yang membawa mesej tentang keyakinan diri.
Pelancaran itu sekali gus memperkenalkan identiti unik mereka sambil membawa nafas baharu dalam industri muzik tanah air.
Lucky Nerds terdiri daripada empat anak muda iaitu M.O., Faiz, E.J. dan Ajim. Mereka sepakat untuk berpadu kreativiti mencipta fenomena baharu melalui muzik, tarian dan seni persembahan.
Lagu Bawa Jiwa Semangat!
“Kami semenangnya ‘nerds’ namun bukan ulat buku semata-mata, tetapi individu yang mendalami minat dengan penuh dedikasi. Sebagai contoh, saya sudah sembilan tahun mencipta muzik.
“Faiz pula pakar dalam tarian moden kontemporari, Ajim hebat dengan tarian tradisional dan EJ mahir dengan muzik rock. Setiap daripada kami membawa kekuatan unik ke dalam group ini. Dan ‘lucky’ adalah doa kami agar berjaya dalam industri muzik Malaysia,” kata M.O.
Malah penubuhan mereka juga adalah lahir daripada usaha M.O. sendiri meski pada awal ada yang ragu-ragu namun akhirnya mereka bersatu sebagai sebuah kumpulan yang lengkap.
Mengulas mengenai single pertama mereka, ia sebagai pengenalan dan lagu ‘anthem’ yang penuh semangat yang memperkenalkan identiti kumpulan ini kepada semua.
“Lagu ini menceritakan tentang siapa kami dan bagaimana kami menepis segala kritikan negatif. Sebelum debut lagi sudah ada yang meragui kami.
“Tetapi melalui lagu ini, kami ingin tunjukkan keyakinan diri kami dan juga buktikan kemampuan Lucky Nerds kepada semua,” kata Faiz.
Walaupun single Lucky Nerds (Anthem) adalah permulaan bagi, mereka tekad untuk membawakan pelbagai genre dalam muzik yang diperjuangkan.
Malah mereka juga kini sedang dalam perancangan menghasilkan sebuah mini album yang bakal menggabungkan pelbagai genre seperti R&B, pop, balada dan rock.
“Kami tak mahu terikat dengan satu genre sahaja. Setiap daripada kami mempunyai minat yang berbeza. Saya misalnya meminati hip hop, Faiz pula R&B, Ajim dengan pop dan EJ pastinya rock.
“Jadi, kami gabungkan semua elemen ke dalam mini album tersebut agar kedengaran unik,” ujar M.O. yang turut mendedahkan karya sulung mereka sebenarnya sudah siap sepenuhnya dua tahun lalu.
Percaya Bakat Pendatang Baru
Sementara itu, Mdm. Azuein Alonto yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents menjelaskan, Lucky Nerds adalah bukti bahawa bakat baharu tempatan juga mampu bersaing di pentas industri muzik.
“Setiap ahli kumpulan membawa keunikan dan kepakaran tersendiri iaitu dari kebolehan mencipta muzik sehingga menguasai pelbagai bahasa.
“Sebagai peneraju ACE Talents, kami melihat potensi besar kumpulan ini dan percaya mereka mampu mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan dan mungkin juga antarabangsa.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk terus menyokong dan mengembangkan bakat seperti ini, kerana mereka adalah masa depan industri seni tanah air kita,” katanya.
Lucky Nerds (Anthem) kini boleh dimuat turun di iTunes dan sudah boleh didapati menerusi semua platform penstriman muzik dan MV rasmi single mereka juga kini boleh ditonton di saluran YouTube ACE Talents.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI