Kes penceraian melibatkan selebriti pastinya menjadi bualan hangat ramai pihak.

Terkini, kisah cerai melibatkan vokalis kumpulan Bunkface, Sam dan Vokalis OAG, Radhi menjadi tumpuan lalu peminat memberikan pelbagai reaksi.

Dalam pada itu, bakal pengantin, penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz ada mendapat nasihat daripada ramai pihak termasuk keluarganya bagi menjalani kehidupan harmoni dalam rumah tangga.

Meski jodoh adalah rahsiaNya, namun sebagai manusia dia cuba memberikan yang terbaik sesama pasangan.

Bakal mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos depan, Ippo atau nama penuhnya Muhammad Hafiz Yaziz berkata, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami kepada Fara Roslan.

“Sebagai seorang ketua keluarga, saya kena berani berdepan dengan apa juga cabaran di alam perkahwinan kelak.

“Kita tak boleh mind set cakap tak nak kahwin sebab kes macam ni (bercerai), jadi tak kemana lah kita, sampai bila-bila kita jadi bujang terlajank atau andartu (anak dara tua),” kata Ippo kepada MH.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Saat Bahagia itu juga ada meminta nasihat daripada rakan selebriti yang berpengalaman.

“Saya ada juga tanya dengan artis-artis senior untuk dapatkan tips mengenai kebahagian rumah tangga dan tugas sebenar sebagai seorang suami.  

“Alhamdulillah, mereka semua bagi sokongan dan tak kekok bagi tips pada saya.

“Sebenarnya saya pun masih dalam zon mempelajari, jadi tak salah kalau saya tanya mereka walaupun umur saya dah masuk 3 series,” seloroh Ippo yang kini sudah mencecah 30 tahun.

Tambahnya lagi, perkahwinan merupakan satu perkara yang perlu dipercepatkan.

“Ramai juga yang beri nasihat kepada saya untuk percepatkan perkahwinan sebab ia adalah salah satu perkara yang perlu disegerakan dalam Islam,” tambah Ippo yang turut mempunyai seorang anak angkat, Amanda. 

Terdahulu, Ippo bersama keluarganya ada bertandang ke rumah Fara di Setia Alam, Selangor untuk majlis merisik pada 12 Mac lalu.

foto : Instagram Ippo Hafiz

Apa Kata Anda