Pelakon Lana Nodin memaklumkan bapanya, Hasan Nodin meninggal dunia di kediamannya di Cyberjaya, Selangor, kira-kira jam 11 malam tadi akibat penyakit kencing manis yang dideritainya sejak enam tahun lalu.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 42, berkata ketika kejadian, dia berada di Singapura kerana terbabit dalam sebuah acara.
“Sebaik sahaja mendapat perkhabaran menyedihkan itu, saya bergegas pulang ke hotel untuk mengemas pakaian. Memandangkan hari sudah lewat malam dan tiada penerbangan ke Kuala Lumpur, saya terpaksa menyewa limosin untuk balik ke Cyberjaya.
“Saya pulang berdua bersama anak manakala suami tidak dapat ikut serta kerana perlu menguruskan hal di Singapura. Bapa saya memang sudah lama mengidap diabetes iaitu sejak enam tahun lalu.
“Arwah bakal menyambut ulang tahun ke 71 pada 3 Oktober depan dan kami adik merancang untuk membawanya bersiar-siar. Kebetulan dia baru sahaja menggunakan kerusi roda.
“Nampaknya impian kami itu tinggal kenangan kerana arwah terlebih dahulu pergi menyahut seruan Ilahi,” katanya.
Lana bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana arwah bapanya itu pergi dalam keadaan tenang dan dipermudahkan.
“Arwah pergi sangat mudah. Dengan sekali hembusan nafas, arwah terus pejamkan mata menutup mulutnya.
“Arwah seorang yang berkulit sawo matang. Tapi bila meninggal, ramai yang terkejut kerana wajahnya jadi putih sangat,” katanya.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Cyberjaya dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ Cyber 10 selepas waktu Zuhur tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat orang anak dan lapan cucu.
Terdahulu berita pemergian bapanya itu turut dikongsi Lana di akaun Instagram sekaligus menerima ucapan takziah serta doa daripada peminat dan rakan selebriti.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI