
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mendedahkan hubungannya bersama Iqbal Zulkefli masih lagi belum pulih meskipun mereka dipertemukan di majlis rumah terbuka Datuk Seri Aliff Syukri, baru-baru ini.
Menurut Vida, dia sebenarnya terpaksa menyertai sesi siaran langsung bersama Iqbal itu bagi menghormati permintaan tuan rumah.
“Saya sebenarnya sudah lama ‘move on’. Pada malam itu, saya sangat terkejut dan terperanjat bila nampak dia ada di sana. Datuk Aliff sudah rancang tanpa pengetahuan saya.
“Suasananya tiba-tiba jadi macam sidang media pula. Para temamu juga terpaksa menyaksikan drama itu.
“Saya pula hanya menghormati tuan rumah,” katanya kepada MH.
Vida berkata sedemikian ketika ditemui di program MeleTOP di Astro Bukit Jalil pada Selasa.
Jelas ibu kepada pempengaruh, Cik B itu lagi, sehingga kini dia belum boleh melupakan segala luka yang dirasai sewaktu menjalinkan hubungan istimewa bersama Iqbal.
“Pada malam itu, tiada sesi bermaafan berlaku. Saya rasa ia memang tidak akan berlaku langsung setakat ini. Pada masa akan datang, kita tidak tahu lagi.
“Saya hanya dedahkan satu perkara sahaja. Sebenarnya ada 10 lagi hal yang saya rasa anda pun tak boleh nak hadap. Luka yang mendalam itu jadi secara berterusan.
“Ia bukan berlaku sekali sahaja. Orang tanya kenapa baru sekarang nak cakap? Saya rasa mungkin ketika ini adalah waktu yang agak tepat,” ujarnya lagi.
Jelas Vida lagi, dia sanggup berkorban untuk memastikan hubungan itu berjaya namun usahanya itu seakan tidak dihargai.
“Perkara yang sudah saya dedahkan itu adalah berkaitan membekukan ovum. Sebelum prosedur itu, ada banyak proses yang perlu saya jalani.
“Antaranya saya kena sentiasa amal pemakanan sihat dan ikut nasihat doktor. Bukan sedikit makanan yang dicadangkan doktor itu.
“Saya juga perlu berhabis masa, tenaga dan wang ringgit. Saya perlu disiplin dengan perkara yang saya tak biasa buat. Saya kerap kena cucuk untuk ambil darah. Usia saya bukan muda lagi. Proses itu sangat sakit,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Vida akui terkilan apabila hubungan bersama Iqbal berakhir secara tiba-tiba melalui panggilan telefon tanpa sebarang penjelasan yang jelas.
“Saya juga kena hadap kekecewaan itu. Tiba-tiba sahaja hubungan itu berakhir melalui satu panggilan telefon sahaja. Selepas itu, segala panggilan telefon dan mesej telah disekat.
“Saya pula yang nampak seperti terhegeh-hegeh. Orang kata saya pula yang melebih-lebih tapi saya memang kena buat persediaan sebegitu sebelum berkahwin.
“Saya perlu berlawan dengan umur. Mungkin berlaku kejutan budaya pada dia. Bila populariti meroket, ada macam-macam drama yang perlu saya telan,” akhirinya.
Iqbal sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi kepada Vida dan hubungan rapat mereka menjadi sebutan ramai.
Sekitar tahun 2018, Vida bagaimanapun memecat Iqbal, sekali gus menamatkan spekulasi mereka bakal mendirikan rumah tangga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini