Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, selebriti dan usahawan terkenal Indonesia , Zaskia Adya Mecca, terus menunjukkan kepeduliannya terhadap umat Islam di Palestin.

Tahun ini, beliau sekali lagi menyediakan hidangan berbuka puasa untuk jemaah di Masjid Al-Aqsa sepanjang sebulan penuh.

Isteri kepada pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu berkongsi bahawa usaha yang dilakukan bukanlah sesuatu yang baru. Malah, inisiatif murni ini telah berjalan selama dua tahun berturut-turut dengan bantuan pasukannya.

“Alhamdulillah, tahun ini kami masih diberi peluang untuk menyediakan iftar di kawasan Masjidil Aqsa selama sebulan penuh. Yang lebih membanggakan, semua hidangan berbuka di Dome of the Rock adalah sumbangan dari Indonesia, yang diuruskan oleh pasukan saya bersama Indadari.

“Tiada negara lain yang terlibat, dan anda boleh periksa sendiri. Ini sudah masuk tahun kedua kami menjalankan usaha ini,” katanya seperti yang dilaporkan media Indonesia, DetikHot.

Ads

Selain projek iftar, Zaskia juga berkongsi bahawa beliau berhasrat untuk kembali ke Palestin dan kini sedang menguruskan visa untuk tujuan tersebut.

Bintang filem Ayat-Ayat Cinta itu menjelaskan bahawa beliau bersama pasukannya telah merancang beberapa inisiatif lain untuk membantu masyarakat di sana, termasuk membina lebih banyak surau dan menyediakan pusat perubatan mini.

Ads

“Kami sedang dalam proses untuk menubuhkan pusat perubatan kecil yang dilengkapi dengan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang akan tersedia setiap masa di Gaza. Selain itu, kami juga dalam perancangan untuk membina sebuah lagi surau,” katanya lagi.

Sejak kecil, Zaskia memang bercita-cita untuk memberi manfaat kepada ramai orang, dan beliau bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada suaminya dalam setiap langkah kebajikan yang diusahakan.

Ads

“Kalau ditanya mengenai perkembangan projek ini, setiap hari pasti ada perkara baharu yang perlu dilakukan. Saya sentiasa berfikir, apa lagi yang boleh dibuat selepas ini? Apa lagi usaha yang boleh kita jalankan?

“Jadi, bukan sekali sahaja. Setiap kali saya ke sana, saya anggap ia sebagai peluang untuk menilai apa lagi keperluan yang boleh kami bantu dalam mengekalkan hubungan baik dengan Masjid Al-Aqsa,” kongsinya lagi.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI