Wow sambutan hangat Tombiruo, RM4 juta Dalam Masa 7 Hari

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba terus mendapat sambutan hangat daripada peminat filem Melayu apabila telah berjaya mengutip RM4 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan sejak 12 Oktober lalu.  
Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, dalam temubualnya bersama Media Hiburan / Sinar Harian telah mengesahkan berita baik ini.  
“Alhamdulillah setakat ini filem Tombiruo telah melepasi RM4 juta untuk kutipan box office. Bagi pihak penerbit kami berasa terharu dengan sambutan daripada penonton terhadap filem ini,” katanya. 
Dalam senario kutipan filem yang tidak menentukan, karya yang diadaptasi dari novel terkenal berjudul sama tulisan Ramlee Awang Murshid ini telah berjaya mencatat kutipan RM2 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Sementara itu, melalui tinjauan di laman sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa bangga mereka terhadap filem ini yang disifatkan setaraf filem antarabangsa.  
Berdasarkan maklum balas baik yang diterima, dijangkakan kutipan akan terus meningkat pada tayangan hujung minggu ini.
Tombiruo: Penunggu Rimba mengisahkan mengenai Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung.
Filem aksi ini dibintangi oleh pelakon mantap terdiri daripada Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M.Nasir dan ramai lagi.
Tombiruo diarahkan oleh Seth Larney bersama pengarah bersekutu, Nasir Jani dan menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan berkolaborasi buat kali pertama selaku penerbit.
Teks oleh: Meen Tahrin