
Penyanyi remaja Umairah yang kini berada di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd, terus mengorak langkah dalam industri seni tanah air dengan pelancaran single raya pertamanya, ‘Tak Balik Raya’.
Menurut Umairah, lagu ini menggambarkan realiti yang sering dialami oleh anak rantau setiap kali tibanya musim perayaan.
“Lagu ini berkisarkan mengenai dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja.
“Lagu ini bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu tetapi menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar,” katanya.
Mudah ‘Lekat’ Di Ingatan
Sementara itu, Umairah mengakui hatinya terus terpikat sebaik sahaja mendengar lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito ini.
“Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan ‘teaser’ lagu ini, saya menerima komen positif dari warganet.
“Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik.
“Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini. Muzik dan emosi lagu ini juga sesuai dengan usia remaja saya,” kongsinya lagi.
Muzik video rasmi ‘Tak Balik Raya’ bakal dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada 7 Mac ini, jam 9 malam.
Tampilkan Rakan Penari Sekolah Seni
Menariknya, Umairah turut menampilkan rakan-rakan sekolahnya di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring dalam muzik video ini.
Bagi Umairah, ini adalah peluang terbaik untuk berkongsi platform dan memberi ruang kepada rakan-rakan yang berbakat dalam bidang tarian.
Single ‘Tak Balik Raya’ sudah boleh didengari di seluruh platform penstriman sejak 5 Mac lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI