Sebagai pembuat dasar industri, isu membabitkan pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, 54, dan pempengaruh, Imran Bard, 24, dianggap sebagai salah satu contoh buli siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan menjadi pengajaran buat semua.

Menurutnya, tanpa disedari, sesiapa sahaja boleh menjadi penyumbang kepada buli siber jika tidak berhati-hati dalam membuat komen atau reaksi di media sosial.

Oleh itu, pengguna harus lebih peka dan memahami batasan sebelum bertindak agar tidak menyesal di kemudian hari.

“Kita jangan lupa agama dan budaya kita yang menekankan adab serta kesusilaan dalam berkomunikasi, termasuk dalam penyediaan kandungan digital di media sosial.

Ads

”Jadikan isu ini sebagai pengajaran buat semua,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Komunikasi kini giat menjalankan kempen kesedaran mengenai bahaya buli siber dan kesannya kepada masyarakat.

Harap Penyelesaian Baik

Datuk Azmir turut mendedahkan bahawa Ellie telah menghubunginya dan meluahkan perasaan sedih serta terkilan mengenai isu yang tercetus dengan pempengaruh tersebut.

“Saya berharap mereka dapat bertemu dan berbincang untuk menyelesaikan perkara ini secara baik. Jika ia dapat diselesaikan dengan baik, ia akan menjadi contoh yang baik untuk semua,” katanya.

Ads

Menurutnya lagi, walaupun isu ini tidak berkaitan dengan perundangan Finas, Ellie merupakan seorang artis berpengalaman yang telah banyak menyumbang kepada industri seni, termasuk sebagai tenaga pengajar dan mentor.

Sebagai contoh, ketika penggambaran filem Memoir Seorang Guru tahun lalu, Ellie bukan sahaja berlakon, malah turut membimbing pelakon kanak-kanak bagi memastikan mereka memberikan lakonan terbaik.

Ketegasan Ellie

Terdahulu, Ellie Suriaty menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran Bard selepas pempengaruh itu mencalarkan namanya menerusi dua hantaran di TikTok yang berunsur fitnah.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar kecewa apabila reputasi yang dibina selama lebih tiga dekad dalam industri seni diperkecilkan dan seolah-olah dimusnahkan begitu sahaja oleh tindakan Imran.

Ads

Terbaharu, Ellie bersetuju untuk bertemu dengan Imran selepas dia pulang ke Kuala Lumpur, memandangkan dia masih berada di kampung halamannya di Kluang, Johor.

“Saya setuju dengan permintaan Imran untuk berjumpa, namun sekarang masih berada di kampung. Insya-Allah perjumpaan kami akan diadakan sekembalinya ke Kuala Lumpur,” tulisnya di Instagram.

Bagaimanapun, Ellie menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan jaminan bahawa dia akan menarik balik saman terhadap Imran.

Sebaliknya, keputusan itu bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf yang bakal dilakukan oleh pempengaruh tersebut.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI