
Pelakon Datuk Fizz Fairuz tidak menafikan akan cabaran di dalam membesarkan anak-anak dalam era moden ini sebagai bukan suatu tugas yang mudah.
Dengan perkembangan teknologi, anak-anak kini lebih terdedah kepada gajet dan internet sejak kecil, berbeza dengan zaman dahulu.
“Memang benar anak-anak zaman sekarang hidup berbeza dengan zaman saya dahulu. Sekarang semuanya sudah di hujung jari dan mereka lebih mudah meneroka apa sahaja yang dimahukan.
“Saya sendiri masih memantau aktiviti anak-anak jika berada di rumah. Apa yang mereka lihat dan apa yang mereka tonton juga perlu diketahui. Kalau ada yang tak betul kita boleh tegur,” jelasnya.
Fizz pada masa sama turut menekankan kepentingan pendidikan awal dalam membentuk sahsiah dan jati diri kanak-kanak sebelum mereka membesar dan berdikari.
Baginya, ilmu dan pendidikan adalah bekalan utama buat anak-anak dalam menghadapi cabaran masa depan.
Teruja Dengan Kewujudan Tadika Tahfiz
Dalam pada itu, Fizz turut berkongsi keterujaannya apabila mengetahui kewujudan Tadika Tahfiz Negeri Pahang, sebuah pusat pendidikan yang memberi tumpuan kepada hafazan Al-Quran untuk kanak-kanak prasekolah.
“Saya teruja sebenarnya bila dapat tahu ada sekolah tahfiz sudah dibuka yang memberikan tumpuan kepada anak-anak pra-sekolah di Pahang.
“Bila dapat tahu sahaja kewujudan pusat pra-sekolah seperti itu, sudah tentu saya teruja memandangkan jarang sekali adanya pusat pengajian yang memberikan tumpuan hafazan Al-Quran untuk kanak-kanak.
“Rasanya ibu-bapa di Pahang dan kawasan sekitar boleh mempertimbangkan untuk menghantar anak-anak ke sana. Setidaknya ini akan jadi bekalan mereka di kemudian hari,” katanya.
Sekadar informasi, Fizz mendirikan rumah tangga bersama pelakon Almy Nadia pada 2014.
Hasil perkongsian itu, mereka dikurniakan lima cahaya mata, iaitu Nur Afrina Arianna, 10; Nur Afrina Aurora, 9; Nur Afrina Ayra, 7; Nur Afrina Aisyah, 4; dan Nur Afrina Alisya, 5 bulan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI