
Penyanyi Fauziah Latiff memaklumkan dirinya masih belum bersedia untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian, meskipun baru saja tampil dengan single duet bersama penyanyi, JessC menerusi lagu duet berjudul Tak Terpisah.
Menurut Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, penglibatannya dalam lagu berkenaan lebih kepada usaha menyokong perjalanan seni teman baiknya JessC, yang juga dikenali sebagai Jessie Chung.
“Saya tidaklah kembali aktif tapi lagu ini merupakan satu projek istimewa bersama JessC memandangkan kami pun saling mengenali.
“Kali terakhir saya keluarkan lagu pun sekitar sembilan tahun lalu, itu pun lagu runut bunyi untuk sebuah drama (Seindah Takdir Cinta) dan lagu itu dirakamkan untuk promosikan drama tersebut.
“Ya, saya pun sudah lama tidak rakamkan single solo. Tapi bagi saya tak mengapa walaupun ramai yang bertanya mengenai single baru, saya percaya pada rezeki,” jelasnya.
Fauziah yang mesra disapa Kak Jee berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Album Dekati milik JessC yang di Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.
JessC Gembira, Duet Bersama Idola Tercapai
Dalam album terbaharu Dekati yang memuatkan enam lagu baharu itu, single duet Tak Terpisah turut dimuatkan.
Malah JessC turut menyatakan rasa gembira apabila impiannya untuk berduet bersama idola akhirnya tercapai.
“Sudah tentu saya rasa teruja dan gembira. Sebenarnya usaha ‘memujuk’ sudah lama cuma kali ini kami ada rezeki untuk berduet.
“Ikutkan perancangan, saya nak kerjasama lagi dengan Kak Jee untuk dua buah lagu baharu yang akan dilancarkan nanti. Apa pun, kita lihat pada keadaan,” katanya.
Terharu Dengan Lagu Bermakna
Dalam pada itu, Fauziah turut mengakui, karya berkenaan memberi kesan mendalam kepadanya sejak kali pertama ia diperdengarkan.
“Kali pertama mendengar Tak Terpisah saya mengalirkan air mata sebab bagi saya lagu ini ada soul, jadi saya cuba terbaik untuk menyampaikan untuk semua.
“Terima kasih JessC dan seluruh pasukan untuk Tak Terpisah. Seluruh pasukan sangat bagus dan sangat menyokong antara satu sama lain.
“Kami juga sudah kenal lama, jadi untuk menyokong industri muzik saya terima cabaran ini dan sangat gembira bila dapat bekerjasama dengan dia,” ujarnya lagi.
Meskipun belum bersedia untuk merakamkan single baharu secara aktif, penyanyi berusia 54 tahun ini terbuka terhadap peluang merakam lagu daripada komposer baharu.
Namun, tetap berhati-hati dalam membuat pilihan karya.
“Ada beberapa lagu yang diterima dan ada satu lagu yang sangat suka tapi mungkin tiada jodoh dengan lagu itu.
“Cuma untuk situasi saya sekarang, perlu berhati-hati dalam memilih sesebuah lagu sebab ini adalah satu tanggungjawab.
“Jadi, perkara ini saya sangat titikberatkan. Biarlah kita hasilkan lagu yang betul-betul orang suka, dan kita akan sampaikan ia dari hati.
“Setiap lagu saya rekod ada keistimewaan tersendiri jadi dari segi pemilihan perlu terperinci. Tapi saya terbuka dengan genre baru dan juga komposer baru,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran tele-filem bertajuk Srikandi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
@mediahiburanofficial Penampilan terkini Fauziah Latiff, muncul dengan single duet bersama JessC. Orang lama yang Tetap cantik & anggun! Selepas sekian lama tak muncul dengan lagu duet, kali ini Kak Jee muncul dengan satu projek yang istimewa, hari ini! #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI