Penyanyi Azharina Azhar merakamkan rasa syukur bercampur terkejut apabila 200 keping tiket konsert solonya, Konsert Azharina Queen of Soul sudah terjual biat majlis pelancaran konsert tersebut baru diadakan semalam.
Bakal dilangsungkan 29 Jun depan di Teater Shah Alam, konsert solo skala besar dari Azharina ini mampu membuatkan lebih 900 penonton.
“Alhamdulillah setelah beberapa lama akhirnya ia direalisasikan. Kami rancang ini sejak tahun lepas sekitar Julai lalu. Tetapi ia makan masa memandangkan kami bekerjasama dengan ramai pihak.
“Bagaimanapun kami dapat sokongan sepenuhnya daripada pelbagai pihak pastinya saya gembira dan bersyukur,” katanya kepada MH.
Malah penyanyi yang kini muncul menerusi single Lakar Janji itu turut lega apabila dia difahamkan, lebih 200 keping tiket sudah pun terjual, meski promosi mengenai konsert tersebut belum lagi dibuat sepenuhnya.
“Saya gembira tapi takut. Saya sendiri tak sangka dengan sambutan yang diterima. Sebab pada awalnya, saya tertanya juga…boleh ke jual 900 tiket ni, ada ke yang nak beli.
“Apa pun, berita ini pastinya memberi signal yang baik. Alhamdulillah,” kongsi Azharina yang tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya secara eksklusif tidak lama lagi.
“Cuma yang pasti saya sendiri tidak boleh tafsirkan apa perasaan saya ketika ini. Bercampur-campur sebab saya ni memang jenis macam tu. Teruja tapi pada masa sama saya takut, gementar. Tak tahu apa yang akan jadi masa konsert tu nanti.
“Apapun, nantikan beberapa kejutan yang tak pernah saya buat sebelum ini. Memang sudah rancang sebab inilah masanya,” dedah Azharina yang bakal mengalunkan lebih 14 buah lagu selama dua jam pada malam konsert itu nanti.
Sinonim menerusi lagu Elergi Sepi dan Rawan, Azharina ditemui media pada majlis pelancaran Konsert Azharina Queen of Soul di Blackbox, SACC Mall Shah Alam pada Selasa.
Berkongsi mengenai perincian konsert bersempena dengan 18 tahun penglibatannya dalam industri seni itu lagi, Azharina memberitahu persembahannya nanti akan diiringi pemuzik okestra.
“Saya bakal diiringi pemuzik orkestra. InsyaAllah akan ada beberapa segmen dan setiap segmen itu memberi makna tersendiri. Mungkin akan ada lagu yang akan saya nyanyikan secara duet, mugkin tidak. Nantikan,” jelasnya lagi.
Konsert Azharina Queen of Soul bakal berlangsung selama satu hari sahaja mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.
Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 untuk VIP, RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI