Akibat terlibat dalam jenayah salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang sebelum ini telah dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia dan isteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur.

Dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman rasmi Facebook, Selangor Royal Office melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haji Haris bin Kasim memaklumkan bahawa tiga individu termasuk Najib dan Rosmah ditarik balik darjah kebesaran tersebut.

Menurut beliau, “Keputusan berikut telah dibuat selepas Baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dan berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.”

Dalam kenyataan tersebut lagi, Dato’ Haji Haris bin Kasim menjelaskan mengapa darjah kebesaran kedua-dua mereka ditarik balik. “Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.

IKLAN

“Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd. Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

“Datin Seri Rosmah binti Mansur telah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005. Beliau telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah. Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

IKLAN

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

Penarikan balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

IKLAN

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Sumber: Selangor Royal office

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI