
Pelakon dan penyanyi, Sherry Ibrahim mahu memberikan sepenuh tumpuan tehadap bidang nyanyian sepanjang tahun 2025.
Menurut Sherry, dia bakal terlibat dengan beberapa buah projek single dan lagu cover yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Ketika ini, saya sudah pun mendapat tawaran untuk menerbitkan dua buah single terbaharu. Namun, segalanya masih di dalam proses perbincangan.
“Saya juga mempunyai sebuah lagu cover yang belum dilancarkan lagi bersama penyanyi, Rezza Shah yang juga salah seorang peserta One In A Million musim ke-4,” katanya kepada MH.
Sherry berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama terbaharu terbitan Viu Original, Gadis Masa, baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga sudah mendapatkan nasihat daripada individu-individu berpengalaman yang merasakan dirinya sesuai untuk menyanyikan lagu berentak ‘pop jazz’.
Kerjaya Nyanyian Bukan Sekadar Tangkap Muat
Malah, Sherry turut memaklumkan dia bakal menyertai kelas nyanyian sebaik sahaja lagunya siap ditulis.
“Setelah saya berkenan dan menerima lagu saya nanti, saya akan berjumpa sendiri dengan komposer. Saya mahu komposer itu mendengar sendiri suara saya terlebih dahulu.
“Selepas itu, baru saya akan menjalani latihan untuk lagu tersebut. Saya akan ambil kelas vokal dan apa sahaja yang berkaitan.
“Saya memang terima banyak tawaran nyanyian tetapi kebanyakkan lagu itu tidak kena dengan jiwa. Masa saya banyak dihabiskan untuk mencari arah muzik yang sesuai.
“Jadi, saya perlu buat keputusan yang betul. Ini bukan sekadar tangkap muat. Saya juga ada tida buah projek lagu bersama syarikat rakaman, NSR,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia juga tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu.
“InshaAllah, itu adalah impian saya. Namun, saya sedar yang saya bukanlah muda lagi. Saya rasa perjalanan nyanyian saya tidak akan berjalan terlalu lama.
“Apa sahaja peluang yang ada, saya akan buat yang terbaik,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan kritikan, Sherry akui dirinya sudah lali dengan perkara tersebut.
“Nyanyian ini bukanlah satu bidang yang baru saya ceburi. Kalau saya takut untuk terima kritikan, saya tidak akan masuk tiga pertandingan nyanyian.
“Cabaran di pertandingan nyanyian lebih besar berbanding merakamkan single. Ketika proses rakaman, kita boleh ubah apa yang patut.
“Kesemua pertandingan yang saya sertai memerlukan saya menyanyi secara langsung di hadapan juri dan penonton. Pada saya, kritikan itu normal. Tanpa kritikan, kita tidak akan menjadi lebih baik,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI