Mempertaruhkan dua buah lagu pada peringkat Semifinal Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38) yang berlangsung minggu lalu, Shiha Zikir nyata sebak apabila karya nyanyiannya, Kalam diumum mara ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38), Mac depan.

Sambil meluahkan rasa terharu, Shiha juga bersyukur apabila naskhah nukilannya sendiri bersama komposer Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves berjaya lolos, bersama 11 buah lagu lainnya.

“Jujur dari peringkat separuh akhir lagi Shiha berasa sebak dan terharu kerana ramai peminat sedar kewujudan lagu Kalam dan mengundinya hingga ke tahap ini.

“Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.

“Shiha memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ni layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” ulasnya.

Ads

Ditanya mengenai cemuhan segelintir warganet yang melabelkan Kalam sebagai sebuah lagu sendu, Shiha bagaimanapun tenang memberikan responsnya.

Tambahnya lagi, sejak dulu sampai sekarang, prinsipnya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Ads

“Jika benar sambutannya sendu, tak mungkin lagu ini akan dipilih sebagai 30 buah karya di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di SFMM, ia perlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Terdahulu, terdapat beberapa pihak yang seolah-olah  mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.

“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.

Ads

“Pada edisi AJL36 barulah buat julung kalinya saya lepas ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu AEWO bersama Noki.

“Tahun lepas adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” ulasnya memberi pencerahan.

Menurutnya lagi, setiap kali menghasilkan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar. 

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI