
Pelakon Jun Lojong mengakui dia perlu mengawal emosi ketika membawakan watak Maria Hadi dalam filem seram terbaharu, Polong agar tidak terbawa-bawa sehingga pulang ke rumah.
Menurut Jun, sepanjang menjalani penggambaran, ada ketikanya dia merasakan dirinya seperti diperhatikan dan emosinya menjadi berat.
Malah watak tersebut juga menuntut penghayatan mendalam kerana diinspirasikan daripada kisah benar.

“Ada kalanya saya terbawa-bawa juga watak Maria Hadi itu. Namun, saya cepat sedar dan berjaya kawal. Sebelum nak balik rumah saya kena buang dahulu watak itu.
“Ada kalanya saya merasakan diri saya seakan diperhati. Namun, saya anggap itu mungkin perasaan saya sahaja. Lagipun, ketika penggambaran, badan kita terlalu letih.
“Saya juga macam ada ternampak kelibat. Ketika itu, perasaan saya pun jadi berat. Kita pula jalani penggambaran sampai pagi. Bila nak pulang ke rumah, ada kalanya saya rasa meremang,” katanya kepada MH.
Jun berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan gala filem Polong yang berlangsung di 10 Star Cinema pada Rabu.
Dalam pada itu, Jun menyifatkan watak Maria Hadi sebagai karakter yang mempunyai pelbagai lapisan emosi yang perlu dipendam dan tidak boleh ditonjolkan secara berlebihan.

“Watak ini sangat berat. Ada beberapa lapisan perasaan yang saya kena simpan dan tak boleh luahkan semuanya. Di luar, Maria Hadi ini sangat tenang, gembira dan sentiasa tersenyum.
“Namun, dalam hatinya itu ada kekacauan, kesedihan dan kekesalan terhadap keluarganya. Itulah permintaan pengarah. Saya kena ada lapisan perasaan itu.
“Nak kekal dalam perasaan itu sangat susah,” ujarnya lagi.
Pengalaman Menginsafkan Di Sel Terakhir
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Namron itu turut berkongsi pengalaman menginsafkan ketika menjalani penggambaran di sel terakhir sebenar di penjara lama Johor yang kini dikenali sebagai Kota Jail.

“Perasaan saya meremang bila masuk ke set penjara lama di Kota Jail. Kita jalani penggambaran betul-betul di sel terakhir. Adegan hukuman gantung juga dibuat betul-betul di sebelah banguan hukuman gantung asal.
Anda mungkin berminat dengan
“Bila masuk ke dalam sel terakhir itu, perasaan saya jadi seram sejuk. Malah, suasananya juga sungguh menginsafkan. Di dinding sel terakhir itu, masih banyak tulisan-tulisan banduan di dinding.
“Ada yang tulis ‘Mak, tunggu! Aku akan balik’ dan ‘Aku tak nak buat lagi’. Mungkin inilah perasaan para banduan di sel akhir,” akhirinya.
Terdahulu, Polong mengisahkan mengenai Fatima lakonan Mimi Lana, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang secara tidak sengaja membongkar kisah silam seorang bomoh wanita, Maria Hadi lakonan Jun Lojong, yang pernah cuba menebus dosa di penghujung hayatnya.
Namun, pencarian tersebut bukan sahaja mendedahkan jenayah lampau, malah membebaskan sesuatu yang jauh lebih berbahaya.
Selain Jun, filem ini turut dibintangi Mimi Lana, Namron, Fad Anuar dan Amir Nafis. Filem arahan Zulkarnain Azhar itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

