
Pelakon Beto Kusyairy terbuka dalam menerima pelbagai reaksi penonton terhadap filem komedi terbaharu lakonannya, Libang Libu, termasuk segelintir yang menonton hanya dengan tujuan mencari kelemahan.
Menurutnya, dia tidak menghalang pandangan tersebut kerana setiap penonton berhak memberikan penilaian sendiri.
Namun begitu, Beto melihat pendekatan itu sebagai sesuatu yang merugikan pengalaman menonton.
“Saya tak ada masalah kalau ada yang nak cari salah, itu hak masing-masing. Tapi pada saya, rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan,” katanya.
Tambahnya lagi, sikap yang hadir dengan jangkaan tertentu, terutama selepas membaca komen atau ulasan positif boleh mempengaruhi cara seseorang menikmati filem.
“Bila kita datang dengan niat nak cari apa yang tak kena, kita sebenarnya dah tutup ruang untuk menikmati cerita itu. Mungkin kita dah baca komen yang kata filem ini sangat kelakar atau dapat rating tinggi, jadi kita datang dengan expectation yang besar.
“Bila apa yang kita tengok tak sama dengan jangkaan, kita mula fokus pada kelemahan. Memang susah nak enjoy kalau datang dengan mindset macam tu,” jelasnya lagi.
Malah Beto juga percaya pengalaman menonton akan menjadi lebih bermakna sekiranya penonton hadir dengan sikap yang lebih santai dan terbuka.
“Kalau kita tengok dengan hati yang lebih terbuka, nak enjoy dan hayati cerita, kita akan nampak perkara yang lebih halus. Ada emosi dan perincian yang cuba disampaikan dalam setiap babak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Beto berpendapat, Libang Libu bukan sekadar filem komedi ringan, sebaliknya membawa sentuhan emosi yang diharapkan mampu menyentuh hati penonton.
“Kita bukan nak bagi mesej yang berat sangat, tapi kita harap ada rasa ‘terjentik’ dalam diri penonton. Mungkin lepas tengok, dia mula sedar sesuatu tentang diri sendiri, seperti cara kita menilai orang lain.
“Itu antara rasa yang kita harap penonton boleh bawa keluar dari pawagam,” katanya.
Beto turut menegaskan, mereka tidak pernah memaksa penonton untuk menerima sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.
“Kami hanya sampaikan apa yang kami buat. Kalau penonton boleh terima, Alhamdulillah,” katanya.
Libang Libu tampil dengan keunikan tersendiri apabila menggunakan loghat Perak sebagai identiti utama, sekali gus memberikan warna berbeza dalam landskap filem komedi tempatan.
Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 23 April.
Naskhah ini mengisahkan tentang sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak.
Pertembungan budaya, agama dan gaya hidup menjadi nadi utama penceritaan, disulami dengan elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon mantap seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, Azhan Rani dan ramai lagi.
Naskhah ini juga diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini