Pelawak dan pelakon Saiful Apek mendedahkan dirinya tidak tahu menahu mengenai kontroversi yang dipercayai melibatkan rakan baiknya, Lan Pet Pet yang tular sehinggalah diberitahu oleh pihak lain, baru-baru ini.
Apek, 51, berkata, dia juga tidak menghubungi sahabatnya itu bagi bertanyakan mengenai perkara tersebut secara terperinci.
“Saya tahu mengenai cerita tersebut pun selepas diberitahu orang lain. Saya juga tidak menghubungi dia sebab saya kenal sahabat saya.
“Saya tak ada hubungi dia untuk bertanya atau apa. Berilah dia ruang, kita tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui.
“Saya berkata begini bukan kerana nak ‘back-up’ kawan atau apa, tetapi sebagai orang luar kita tidak seharusnya campur tangan atau terlalu cepat ‘jatuh hukum’.
“Kami (Senario) ini dah macam ahli keluarga. Sejak dulu pun kalau salah seorang ditimpa masalah atau kontroversi, masing-masing akan biar keadaan ‘sejuk’ dulu dan tunggu masa yang sesuai untuk bercakap,” katanya kepada MH.
Apek berkata demikian ketika ditemui pada Malam Aspirasi & Anugerah Vieura 2021 di Avenue Bangi Convention Centre, Selangor.
Tambah Apek, sepanjang mengenali Lan, dia tidak disifatkan sebagai seorang panas baran atau cepat melenting.
“Mungkin ada sesuatu yang ‘trigger’ dia bertindak di luar kawalan. Sebab saya sendiri pun pernah dilemparkan kata-kata tidak sepatutnya oleh ‘haters’.
“Tetapi saya berjaya managed dan mungkin itu kekuatan saya berjaya mengelak dan tidak memanjangkan isu. Cara masing-masing untuk mengatasi tekanan.
“Saya rasa fitrah manusia, terlajak melakukan sesuatu yang khilaf. Apapun kami adik-beradik Senario tidak pernah menilai sesama sendiri, kami dah faham sesama sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu, sejak malam Ahad lalu, video lelaki mirip Lan Pet Pet yang didakwa memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan menarik perhatian netizen selepas tular di media sosial.
Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya itu, lelaki berkenaan dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.
Terkini, menerusi laporan Kosmo!, pihak polis mengesahkan telah menerima laporan daripada pelakon dan pelawak Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad berhubung satu insiden.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya juga telah terkesan satu video tular membabitkan seorang pelakon yang dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku pada 1 Mei 2021 kira-kira pukul 6.30 petang dan menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan pelakon tersebut sedang berselisih faham dengan seorang penunggang motosikal yang juga merupakan seorang penghantar makanan.
“Kejadian berlaku di hadapan kedutaan Rusia dan dikatakan tercetus akibat perselisihan faham di jalan raya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Ashari, setakat ini pihaknya telah menerima laporan daripada pelakon tersebut berhubung kejadian namun semakan mendapati tiada menerima laporan daripada penunggang motosikal.
Dalam pada itu, pihak polis meminta kerjasama individu yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan dan orang ramai yang mempuyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI