
Penyanyi Adira Suhaimi berharap kes perbicaraan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan oleh bekas suaminya, Datuk Red dapat diselesaikan dengan baik tanpa melibatkan sebarang drama.
Menurut Adira, prosiding perbicaraan kes tersebut bakal bersambung pada 23 April ini.
Dia juga menegaskan tidak mahu perkara ini dipanjangkan kerana ingin memberi tumpuan kepada kehidupan baharunya.

“Sebenarnya hal itu belum lagi selesai. Walau apapun yang berlaku, saya tetap kena hadap. Isu itu sememangnya harus diselesaikan dengan segera sebab saya juga mahu ada kehidupan sendiri.
“Saya nak hidup yang baharu. Saya harap hal ini dapat diselesaikan dengan tenang dan tanpa berlaku pergaduhan. Saya juga percaya Datuk Red juga mahukan hal yang sama.
“Perbicaraan seterusnya akan berlangsung pada 23 April ini. Tolong doakan saya. Saya selesa dengan kehidupan saya yang sekarang. Saya harap ia akan selesai tanpa ada drama,” katanya kepada MH.
Adira berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu pertama Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), baru-baru ini.
Bersyukur Ada Sokongan & Utamakan Emosi Anak
Ketika ditanya sama ada dia berasa terganggu dengan situasi yang berlaku, penyanyi lagu Ombak Rindu itu meluahkan rasa syukur kerana mempunyai sistem sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, saya ada sistem sokongan yang baik seperti keluarga dan rakan-rakan. Saya sebenarnya tak rasa terganggu pun. Saya pernah hadap perkara yang lebih berat sebelum ini.
“Pada saya, ini adalah isu kecil yang harus diselesaikan sahaja. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Adira turut meluahkan rasa syukur apabila penyertaan anaknya, Anggrek, dalam TTMM2 mendapat sokongan penuh daripada Datuk Red.

“Alhamdulillah, ayahnya juga setuju bila saya dan Anggrek buat keputusan untuk menyertai TTMM2. Saya tak pernah membelakangkan dia. Dia juga menyokong perjalanan kami di sini.
“Jika dia ada masa, sudah tentu dia akan datang. Walau macam mana sekali pun, Anggrek ini tetap anak dia. Jika dia mahu menunjukkan sokongan buat Anggrek, saya bersyukur dan sentiasa terbuka,” ujarnya.
Pada masa sama, Adira memaklumkan dia tidak merancang untuk membawa kisah keluarga ke dalam program tersebut kerana tidak mahu mengganggu emosi anaknya yang masih kecil.

“Untuk ke hadapannya, saya tidak merancang untuk membuat perkara seperti itu. Anggrek masih lagi kanak-kanak. Mungkin dia mampu untuk mengawal emosinya.
Anda mungkin berminat dengan
“Walaupun menyertai TTMM2, saya tetap mahu menunjukkan yang Anggrek ini masih lagi kanak-kanak. Saya tak nak berikan tekanan terhadap emosinya kecuali dia benar-benar bersedia.
“Dalam program ini, saya tak mahu ada banyak drama. Saya cuma nak tonjolkan kemampuan Anggrek di atas pentas. Untuk Anggrek terlibat di dalam drama, saya rasa tidak sesuai,” akhirinya.
Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan perbicaraan pengesahan lafaz rujuk antara Red dan Adira dijalankan secara tertutup pada 16 Februari lalu, namun ia telah ditangguhkan.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 3 Disember 2015 di Songkhla sebelum sah bercerai talak satu pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

