Gara-gara mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek ketika membuat persembahan, penyanyi, Aina Abdul mendedahkan dirinya sanggup berbelanja besar bagi memenuhi kehendaknya itu.

Bagaimanapun, Aina mula merasakan tindakannya itu boleh memakan diri sekiranya ia tidak dikawal.

“Itu merupakan satu masalah mengenai diri saya. Bila saya terlalu ambisi nak lakukan sesuatu yang lain dari lain, saya terpaksa mengeluarkan kos yang banyak. Saya sangat perfectionist.

“Kadang kala, bila team saya bentangkan jumlah bajet, bukan nak kata saya mampu tapi masalahnya saya terlalu mudah bersetuju dengan bajet tersebut,” katanya kepada MH.

Katanya lagi, disebabkan keinginannya itu, dia terpaksa bekerja keras lebih-lebih lagi bila memikirkan mengenai tempoh aktifnya di dalam industri seni.

“Sebab itu ramai yang paksa saya bercuti dan jarang tengok saya membeli belah untuk diri sendiri. Self-love pun penting tapi saya sudah sampai ditahap berada di dalam industri ini ketika umur saya 30 tahun.

“Saya terpaksa buat banyak perkara dalam satu tempoh masa yang singkat . Saya anggap kerjaya saya seperti bateri. Saya sendiri tak tahu berapa peratus lagi yang saya ada.

“Menjadi seorang wanita yang berada di dalam industri pada usia 30 tahun bukan mudah. Kadang-kadang saya terpaksa berhabis untuk lakukan apa yang saya inginkan. Sebab itu saya terima sahaja apa jenis undangan persembahan,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, penyanyi lagu Semalam ini turut mendedahkan pengalaman masa lalu, banyak mematangkan kerjaya seninya ketika ini.

“Kadang kala, perkara yang saya buat itu tidak menjadi walaupun dah berbelanja banyak. Saya pernah laluinya di AJL sebelum ini. Tapi saya tak boleh dedahkan AJL yang mana.

“Saya berbelanja sampai memakan diri. Persembahan itu pun tak menjadi impak.

“Selepas itu, saya duduk menyendiri sekejap, saya berfikir untuk cari jalan macam mana saya boleh berhabis tapi pada masa sama ia mampu menjadi impak.

“Tiga AJL sebelum ini akan jadi pengajaran buat saya di AJL37 ini. Saya akan beri tekanan sedikit pada team saya untuk kita pastikan kesilapan lama tidak berulang,” akhirinya.

Terdahulu, Aina bakal bersaing di pentas AJL keempatnya menerusi lagu Terus Hidup.

AJL37 akan berlangsung di Axiata Arena pada 12 Februari ini dan akan dipancarkan secara langsung di TV3 bermula jam 9 malam.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Aina Abdul

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI