
Pelakon Sophia Albarakbah mencuri perhatian ramai pada sebuah acara fesyen baru-baru ini apabila dia dilihat tampil mengenakan persalinan busana yang didakwa mencolok mata oleh sesetengah pihak hingga menampakkan lurah pada bahagian dadanya.
Sophia atau nama sebenarnya, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sebaliknya menjelaskan bahawa ia adalah persalinan tajaan daripada seorang pereka fesyen.
Hargai Mereka Yang Menegur
Pelakon filem Saka Perawan itu bagaimanapun, meluahkan rasa terima kasih atas setiap teguran yang diterima akan lebih berhati-hati dalam memilih busana yang akan dipakai, selepas ini.
“Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa tentang isu ini (penampilan seksi) sehinggalah seseorang memberitahu saya. Saya hanya menggayakan baju ditaja.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin tentang penampilan saya. Saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Butik Amber di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Sophia menjadi wajah rakan strategik bagi Amber di bawah Usanita Sdn Bhd yang turut menumpukan perniagaan pada produk kecantikan dan fesyen.
Selain Sophia, pelakon Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Nora Danish dan Fattah Amin turut dipilih sebagai wajah rakan strategik bagi jenama tersebut.
Bukan Sengaja Nak Perhatian
Dalam pada itu, Sophia menafikan dia sengaja mencipta kontroversi semata-mata untuk mencari publisiti sebagaimana yang didakwa warganet.
Namun dirinya sedia maklum sebagai selebriti, memang tidak dapat lari daripada menerima kritikan negatif masyarakat.
“Kita tidak boleh elak daripada kecaman orang, ia bukan sesuatu yang baru malah nanti akan ada lagi orang bercakap tentang saya.
“Saya tahu sebagai public figure, kita perlu berdepan dengan kecaman-kecaman ini.
“Saya tidak rasa saya sengaja cetuskan kontroversi, saya hidup macam biasa sahaja tetapi orang memilih bercakap tentang saya,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI