
Pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad menitipkan ucapan istimewa bersempena hari lahir pelakon wanita, Amelia Christie.
Menerusi hantaran terkini di Instagram, Sharnaaz dilihat membawa Amelia ke sebuah restoran untuk menyambut hari bahagia tersebut.
Turut kelihatan ada bersama di resrotan tersebut adalah anak kepada Sharnaaz, Jebat Jayden.
Menurut Sharnaaz, dia mendoakan semoga Amelia sentiasa diberikan kebahagiaan dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.
“Happy birthday dear Amelia. Semoga sentiasa sihat, bahagia dan dilimpahkan dengan rezeki yang melimpah ruah.
“Dan good luck in your new business ACL. Amin,” tulisnya.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Stories pula, Sharnaaz turut menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ dan Amelia kelihatan tersipu-sipu malu.
Malah, telatah comel Jebat juga nyata menarik perhatian ramai pihak.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti turut sama menitipkan ucapan hari lahir selain turut mengusik Sharnaaz dan Amelia mengesahkan hubungan mereka.
Terdahulu, hubungan diantara dua selebriti ini mendapat perhatian ramai setelah Sharnaaz dilihat hadir sambil berpegangan tangan bersama Amelia ketika di acara karpet merah bagi tayangan perdana filem Polis Evo 3 sebelum ini.
Sharnaaz dan Amelia sudah kerap kali dilihat bersama namun, masih belum membuat pendedahan rasmi tentang status perhubungan mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Sharnaaz Ahmad
“Saya Juga Rakyat Malaysia Yang Berhak,” – Artis ‘Papan Atas’ Tak Patut Mohon Dana Kerajaan? Ini Respon Liza Hanim

Baru-baru ini, isu mengenai Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi perdebatan hangat di media sosial.
Ramai yang beranggapan artis-artis yang mempunya reputasi besar tidak sepatutnya memohon dana kerajaan untuk mengadakan konsert kerana merasakan mereka lebih mudah untuk mencari penaja.
Mengulas mengenai isu tersebut, penyanyi yang juga merupakan penerima DKD, Liza Hanim menyifatkan sesiapa sahaja berhak untuk memohon dana tersebut asalkan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Menurut Liza, dia berusaha sama seperti orang lain dan bersyukur kerana permohonannya itu telah diluluskan.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia yang berhak. Saya sudah terlibat di dalam industri ini bertahun lamanya. Sesiapa sahaja boleh memohon. Saya bukan dapat begitu sahaja.
“Saya buat kertas kerja dan saya sendiri yang bentangkan proposal, bukannya orang lain dengan harapan diterima. Alhamdulillah saya diterima.
“Saya tak rasa hal ini patut dipertikaikan kerana peluang untuk mendapatkan dana ni terbuka kepada sesiapa sahaja yang memohon.
“Segalanya terpulang kepada rezeki. Alhamdulillah ketika ini merupakan rezeki saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu berkata sedemikian ketika ditemui sidang media konsert minggu pertama All Star Gegar Vaganza baru-baru ini.
Jelas Liza lagi, dana berjumlah RM300,000 masih belum mencukupi untuk menampung jumlah kos keseluruhan penganjuran konsert.
“RM300,000 itu bukan besar nilainya untuk buat konsert. Kalau anda nak tahu, semasa kami buat perbentangan, kami sudah pun menjelaskan kos sebenar untuk penganjuran konsert tersebut.
“Malah, pihak penilai sendiri juga bertanya sekiranya permohonan dana ini diluluskan, apa langkah saya seterusnya kerana mereka pun tahu dana ini tidak akan mencukupi.
“Saya kena berusaha lagi. Bukan boleh terus goyang kaki. Orang mungkin tak tahu. Banyak kos yang diperlukan untuk mengadakan konsert.
“Jadi, kalau kita tak tahu tentang sesuatu perkara itu, sebaiknya tak perlu persoalkan,” katanya yang bakal mengadakn konsert solo tidak lama lagi.
Pada masa sama, Liza juga berpandangan segelintir penggiat seni kreatif tidak mengambil tahu mengenai peluang ini sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap artis yang menerimanya.
“Sebenarnya, ramai yang tak tahu mengenai dana ini. Oleh itu, mungkin dengan pemilihan kami ini akan membuatkan lebih ramai yang tahu.
“Jadi, mohonlah. Ketika ini pun permohonan sedang dibuka. Jadi, kepada para pembikin konsert yang tak pernah dapat peluang seperti ini, usahakanlah.
“Mohonlah kepada kerajaan kerana ini merupakan inisiatif mereka. Selalu kita tak kejar dan ambil tahu tentang peluang ini.
“Kertas kerja kena kuat. Ini merupakan tahun kedua saya mencuba. Memang tak mudah. Ada yang cuba bertahun-tahun pun belum ada rezeki,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
“Apabila Nama Siti & Imbuhan ’ism’ Digabungkan…,” – Lagu Album Baru Hampir 2 Juta Distrim, TokTi Lancar Pula Edisi Deluxe

Selepas melancarkan album solo ke-20, Sitism yang memuatkan lapan buah lagu pada Jun lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini muncul dengan empat buah karya tambahan dalam album edisi deluxe.
Album deluxe Sitism dilengkapi 12 buah buah lagu telah mula dilancarkan di seluruh platform digital bermula 8 September lalu.
Menurut Siti, empat buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi merupakan plan strategi terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak dua bulan pelancarannya.
“Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula,” katanya.
Jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini lagi, album Sitism menggambarkan kematangan dirinya seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahannya.
“Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.
“Apabila nama Siti dan imbuhan ism ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 saya,” jelasnya.
Empat buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa, Kalau Berkasih, Nadi dan Kusedari.
Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda dan vokalis Wings, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.
Ini merupakan penampilan pertama Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.
Terdahulu, Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital. Malah, album dalam bentuk fizikal pula boleh didapati di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.
Sehingg kini, lagu-lagu di dalam album Sitism telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Konsert Dangdut Skala Mega Ditunda Ke 25 November, Hormati Sambutan Maulidur Rasul

Demi menghormati sambutan Maulidur Rasul, Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini, ditunda ke satu tarikh baharu.
Masih mengekalkan Stadium Malawati Shah Alam sebagai venue konsert, penganjur telah memilih 25 November 2023 sebagai tarikh baharu selepas mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan bersama dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam berkaitan perkara ini.
Pihak penganjur, Mission Sight Sdn Bhd menghargai pandangan dan nasihat dari pihak atasan Majlis Bandaraya Shah Alam tentang perkara ini.
Pengarah Urusannya, Jeffri Yaacob berkata, sudah menjadi tanggung jawab penganjur agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan dapat menjaga keharmonian semua pihak.
“Diharap dengan penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami.
“Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023.
“Pihak kami sedang merangka strategi untuk menyediakan pelbagai acara yang dibarisi oleh selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.
“Justeru itu, kami berbesar hati ingin mempelawa TikTokers, vendor-vendor makanan atau produk viral tempatan termasuk Indonesia untuk menyertai festival ini.
“Ia secara tidak langsung dapat mencapai objektif kami untuk mengukuhkan kerjasama di antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu Jeffri berharap agar penundaan tarikh konsert ini juga dapat memberi peluang pemasaran lebih meluas kepada Konsert Milenia.
“Kami juga berharap agar dapat menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia ke negara ini. Siapa tahu Konsert Milenia dimasukkan ke dalam itinerari percutian hujung tahun mereka,” katanya.
Terdahulu, konsert ini menjadi tular kerana dinamakan sebagai ‘Konsert Goyang Asia Koplo Milenia’, telah mengundang persepsi negatif segelintir masyarakat.
Prihatin dengan isu tersebut, penganjur telah melakukan penjenamaan semula dengan menukarnya kepada ‘Konsert Milenia’, yang dilihat lebih universal sekaligus menghapuskan persepsi kurang enak dalam kalangan masyarakat.
“Kami sedar genre dangdut sering mengundang persepsi negatif sehingga mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat disebabkan tarian gelek dan aksi seksi yang dianggap mencolok mata dan lucah.
“Persepsi sedemikian timbul mungkin disebabkan orang kita sudah terbiasa disajikan dengan persembahan dangdut dan gelek di Indonesia. Di Malaysia, kita ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan segala terma serta syarat penganjuran konsert Milenia ini telah ditapis oleh 14 agensi di bawah PUSPAL.
“Garis panduan yang disediakan juga tegas iaitu, tidak membenarkan para artis yang membuat persembahan mengenakan pakaian seksi dan terdedah, persembahan tidak menonjolkan unsur-unsur lucah seperti bergelek berlebihan dan mencolok mata serta yang boleh memberi impak negatif,” katanya.
Objektif penganjuran konsert ini adalah untuk memartabatkan muzik dangdut di Malaysia yang selama ini dipandang sebagai genre muzik kelas kedua.
DJ Dugem popular iaitu, DJ ACE dan DJ Bob Arjuna turut diundang untuk memeriahkan lagi malam konsert dengan persembahan muzik berirama Dugem yang sedang menjadi trending di TikTok.
Malah untuk memberikan persembahan yang lebih varisi, Mission Sight Sdn Bhd juga sedang mencari mencari seorang penyanyi lelaki dari Malaysia atau Indonesia yang bersesuaian untuk menyampaikan lagu-lagu Rock Dangdut.
Layari media sosial rasmi Konsert Milenia bagi mendapatkan tiket.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini