Penyanyi tersohor antarabangsa dan usahawan berjaya, Rihanna, kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan berkeluarga apabila beliau dan pasangannya, rapper terkenal A$AP Rocky, dikurniakan cahaya mata perempuan pertama pada 13 September lalu.
Kehadiran bayi comel itu sekali gus melengkapkan kebahagiaan keluarga kecil pasangan selebriti berpengaruh ini. Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri Rihanna menerusi laman Instagram miliknya hari ini.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi kelahiran Barbados berusia 37 tahun itu memuat naik foto dirinya sedang mendukung bayi berbalut pakaian serba merah jambu dengan kapsyen ringkas nama anak perempuannya itu, “Rocki Irish Mayers Sept 13 2025.”
Dalam hantaran itu juga, pelantun lagu popular Diamond itu, turut memuat naik foto simbolik sarung tinju siap riben berona merah jambu menandakan jantina anak ketiganya itu.
Ads
Rihanna dan A$AP Rocky sebelum ini sudah pun bergelar ibu bapa kepada dua anak lelaki, iaitu RZA Athelston Mayers yang lahir pada Mei 2022, serta Riot Rose Mayers yang menyusul pada Ogos 2023.
Ads
Kehadiran Rocki sebagai anak perempuan pertama mereka dilihat melengkapkan lagi susunan keluarga yang kini diwarnai dengan kehadiran seorang puteri.
Ads
Kehamilan Rihanna kali ini mula disedari umum ketika acara berprestij Met Gala 2025, apabila usahawan yang terkenal dengan jenama kecantikan Fenty itu tampil berani memperlihatkan ‘baby bump’ di karpet merah.
Sejak daripada itu, khabar angin mengenai jantina bayi menjadi perbualan hangat peminat, khususnya selepas A$AP Rocky sendiri dalam satu wawancara menyatakan harapan agar dikurniakan seorang anak perempuan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud terharu dan bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan sebagai wajah wakilan jenama Avocake Pukis & Delight pada usia 63 tahun.
Bagaimanapun Fauziah yang sinonim disapa Ogy menyifatkan, amanah dan tanggungjawab ini hadir hasil profil kerjanya yang baik serta berkualiti sehingga mewujudkan keyakinan pihak klien.
“Sudah tentu saya sangat bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah SWT, atas kepercayaan pihak Avocake Pukis & Delight terhadap saya.
“Pada saya, kepercayaan ini hadir apabila kita terus berpegang kepada prinsip berpegang teguh terhadap mutu dalam apa juga bidang yang dilakukan.
“Dalam erti kata lain, saya tidak akan berkompromi apabila ia berkaitan dengan mutu. Malah saya juga akan tunaikan apa yang saya katakan. Jika itu saya cakap, maka begitulah yang saya lakukan.
“Jadi mungkin daripada situlah, orang mula meletakkan kepercayaan itu. Misalnya hasil kerja Fauziah Ahmad Daud, kita sudah tahu bagaimana.
“Dia cakap, dia akan buat. Bagi saya pendirian sedemikian sangat penting,” katanya ketika ditemui pada majlis Jom Sepetang Bersama Ogy sempena pelantikannya sebagai duta jenama berkenaan yang berlangsung di UTC Seremban, Sabtu lalu.
Penerima dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia itu turut menegaskan, wang ringgit bukan segalanya apabila bercakap mengenai minat dan skop kerjaya.
“Sebelum ini pun saya pernah dilantik sebagai duta untuk beberapa jenama. Jadi secara langsung, saya sudah faham dan jelas terhadap ruang skop kerja sebagai duta.
“Bukan hanya anda ambil duit dan ‘posing-posing’, tidak. Kita kena turun padang, ambil tahu kerana anda mewakili pengasas di sebalik jenama untuk membantu kelangsungan jualan produk yang diwakili.
“Jadi terima tawaran menjadi duta bagi jenama ini kerana melihat kepada perancangan bisnes mereka yang tersusun dan saya bersetuju.
“Mereka mempunyai impian, cita-cita serta ada misi dan visi perniagaan, itu penting untuk saya. Bukan sebab bayaran semata-mata, saya bukan jenis begitu. Walaupun dalam seni lakonan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Avocake Pukis & Delight Sdn Bhd, Puan Shamsiah Yaakob, turut berkongsi inspirasi di sebalik penubuhan perniagaan tersebut.
“Menu yang kami bawa berasaskan makanan tradisional Indonesia. Idea ini tercetus ketika saya pernah mengajar sebagai pensyarah di sana.
“Saya jatuh cinta dengan hidangan dari Seberang seperti kuih pukis, sempo, bakso dan minuman avocado. Jadi saya belajar cara penyediaan dan usaha untuk memperkenalkannya di Malaysia.
“Menu sebegini adalah yang pertama di Malaysia. Kami juga mempekenalkan pelbagai variasi rasa pukis antaranya original, coklat, pandan, avocado dan beberapa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsiah memaklumkan pihaknya akan membuka lebih banyak cawangan di beberapa lokasi termasuk di Melaka dan Lembah Klang.
“UTC Seremban menjadi franchise pertama dan beberapa franchise akan dibuka di beberapa lokasi lain.
“Insya-Allah Seremban akan ada tiga, di Kuala Lumpur dan di Melaka akan dibuka sebanyak empat franchise.
“Kepada sesiapa yang berminat untuk membuka franchise, sangat dialu-alukan dengan modal serendah RM42,000 sahaja untuk satu outlet.
“Pihak Avocake Pukis & Delight juga menyediakan kelas bagi proses penyediaan hidangan selain aspek pengurusan,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon, Emma Maembong menafikan dakwaan dia bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Kenyataan itu dibuat selepas tular sebuah video di media sosial yang memaparkan dirinya bersama teman, DJ Kidd mengenakan busana perkahwinan ketika menghadiri sebuah majlis, baru-baru ini.
Menurut Emma, dia dan DJ Kidd hanya sedondon mengenakan sepersalinan songket berwarna coklat bagi menghormati permintaan tuan rumah yang mahu para tetamu hadir mengikut tema yang ditetapkan.
“Tak baik fitnah saya. Mana ada orang rehearsal pakai baju pengantin di tempat umum. Itu bukan saya fitting baju kahwin. Takkanlah saya nak fitting baju secara terbuka di khalayak ramai pula.
“Sebenarnya, saya hanya mengikut tema majlis tersebut. Temanya adalah busana tradisional atau baju perkahwinan. Setiap tetamu datang secara berpasangan dan mereka mengenakan baju tradisional.
“Seperti contoh, Kak KM datang dengan busana Minang Kabau. Bila saya mengenakan busana tradisional, ramai pula yang ingat saya nak berkahwin. Saya belum nak berkahwin lagi,” katanya kepada MH.
Emma berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana episod akhir drama terbitan Viu, Seadanya Kitayang berlangsung di W Factory Event Space, Shah Alam pada Jumaat.
Sementara itu, pelakon filem Frontliner ini enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya dia kini lebih terbuka berkongsi tentang hubungannya bersama DJ Kidd, terutamanya di media sosial.
“Seperti yang saya katakan, saya hanya mengikut tema. Temanya meminta para tetamu datang secara berpasangan. Perkara itu memang sudah tertulis di dalam teks jemputan.
“Bukanlah nak kata saya kini sudah semakin terbuka namun, saya merasakan ini perkara biasa sahaja. Sebelum ini, saya pernah maklumkan yang saya enggan terlalu mengulas dan memperbesarkan perkara ini.
“Kalau ada (jodoh), adalah. Lagipun, saya merasakan diri saya kini sudah tua. Berita-berita mengenai diri saya sudah tidak eksklusif lagi,” katanya lagi.
Meskipun ramai peminat mengharapkan dia kembali dipertemukan jodoh, Emma menegaskan dia tidak tergesa-gesa untuk melangkah ke fasa perkahwinan.
“Kita beri peluang kepada kisah artis lain dahulu. Biarlah kisah mereka jadi perhatian. Bila tengok pasangan lain bahagia, saya juga tumpang gembira,” ujarnya.
Untuk rekod, Emma pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Shazli Azhar pada 2020 namun berpisah pada Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Transcultural Ethnic Rhythms of Malaysia & Asia (TERMA) bukan sekadar nama, tetapi nadi yang menghimpunkan rentak, irama dan gerak tari pelbagai bangsa dari Malaysia hingga ke serata Asia.
Ia menjadi jambatan merentas sempadan, menyatukan seni rakyat dalam satu bahasa sejagat.
Majlis pelancaran Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027 bersama TERMA 2025 telah berlangsung penuh gilang-gemilang di Galeria SA Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.
Acara disempurnakan oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Kebudayaan & Perumahan Negeri Selangor, disaksikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya selaku rakan strategik rasmi Projek Ikon, serta Jom Havoc Event & Management.
Ia turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan JKKN bersempena Festaria’25, bersama penaja seperti Nusa Sentral Sdn Bhd, Che Ani Premium dan Akira Touch, manakala Galeria SA Sentral menjadi venue rasmi.
Pelancaran ini menobatkan Selangor sebagai tuan rumah dengan penyertaan dari lima negara iaitu China, India, Sri Lanka, Thailand dan Indonesia.
Pertandingan persahabatan antarabangsa memperlihatkan keunikan tarian rakyat enam negara, di mana Indonesia dan Malaysia diumumkan pemenang Emas, China dan Thailand membawa pulang Perak, manakala Sri Lanka dan India memenangi Gangsa.
Dalam majlis sama, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengumumkan pelancaran rasmi Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027 yang menampilkan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik utama dalam setiap program antarabangsa.
TERMA 2025 bakal berlangsung pada 11 & 12 Oktober 2025 di Shah Alam dengan kategori penyertaan kebangsaan dan antarabangsa merangkumi 7–12 tahun, 13–17 tahun dan 13 tahun ke atas (Terbuka).
Juara kebangsaan akan mara ke pentas antarabangsa merebut Platinum, Gold, Silver dan Bronze Award, sekaligus mengangkat Malaysia sebagai hab tarian rakyat rantau Asia.
Bagi memperkasakan kesenian zapin, Noraniza Idris turut melancarkan inisiatif Roots of Zafana dengan penubuhan Zapin Living Lab menerusi arkib digital dan fizikal yang mendokumentasikan penulisan serta kajiannya sendiri.
Inisiatif ini direalisasikan melalui kolaborasi akademik bersama ALAF Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan promosi dan pakej khas daripada TH Travel & Services.
Zapin Living Lab membuka peluang generasi pelapis, khususnya pelajar, untuk menyertai percutian pendidikan zapin.
Setiap bulan, Roots of Zafana akan menjelajah negeri-negeri seluruh Malaysia, meninjau keunikan variasi zapin yang dirakam eksklusif bersama Noraniza Idris dan co-host Ihab Ismail.
Dokumentasi ini dijangka menjadi rujukan rasmi generasi masa depan.
Perjalanan arkib bermula di Kampung Tenglu, Mersing sebelum diperluaskan hingga ke Sepanyol, simbol kesinambungan zapin merentas dunia Islam.
Kemuncaknya, Festival Empayar Akar Kita Zapin (AKZ) Musim ke-6 (AKZ6.0) bakal berlangsung pada 21–25 September 2026 dengan penyertaan antarabangsa.
“Jika dahulu pencarian budaya saya diterjemahkan dalam lagu Irama Malaysia, kini saya mahu melahirkan arkib zapin untuk generasi pelapis.
“Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” katanya.
Majlis sama turut diserikan dengan pra-dengar single baharu, Bintang Terang nyanyian Ihab Ismail dan Azmir Arif di bawah NIPV Management Sdn Bhd.
Sebelum itu, Noraniza Idris mempersembahkan beberapa medley lagu diiringi 39 penari dari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) berusia antara 4 hingga 18 tahun.
Pelancaran ini sekali gus memperlihatkan komitmen beliau sebagai Ikon Kebudayaan Pelancongan Antarabangsa, bersama dukungan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik rasmi, untuk menjadikan zapin identiti budaya Malaysia yang bernilai tinggi dan berdaya saing di pentas dunia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini