
Penerbit Hollywood, David Brian Pearce, didapati bersalah atas dua pertuduhan membunuh secara sengaja dalam kes kematian akibat dos dadah berlebihan melibatkan seorang model dari Los Angeles dan rakannya.
Juri di Mahkamah Los Angeles mengambil masa dua hari untuk mempertimbangkan kes pembunuhan model Christy Giles, 24, dan rakannya Hilda Marcela Cabrales-Arzola, 26.
Kedua-dua mangsa bertemu David di sebuah parti di gudang di East Los Angeles sebelum mereka dibawa pulang ke rumahnya. Di sana, dia dipercayai telah memberikan dadah kepada mereka sehingga menyebabkan mereka mengalami kesan dos berlebihan.
Kedua-duanya kemudian dihantar ke hospital yang berbeza dalam selang masa kira-kira dua jam pada malam 13 November 2021.
Mayat Christy Giles ditemui di luar Hospital Southern California, Culver City. Laporan bedah siasat menunjukkan beliau meninggal dunia akibat campuran dadah kokain, fentanyl, gamma-hydroxybutyric acid (GHB), dan ketamin dalam tubuhnya.
Menurut laporan polis, wanita malang itu dihantar ke hospital oleh beberapa lelaki bertopeng menggunakan sebuah kereta tanpa nombor plat.

Sementara itu, Hilda Marcela Cabrales-Arzola mengalami kegagalan organ berganda selepas didapati terdapat kesan kokain, ekstasi dan bahan lain dalam tubuhnya.
Dia ditinggalkan di Hospital Kaiser Permanente West Los Angeles dan dibiarkan bertarung nyawa selama 11 hari sebelum keluarganya memutuskan untuk menamatkan bantuan pernafasannya.
Jabatan Perubatan Los Angeles mengklasifikasikan kematian mereka sebagai kes pembunuhan.
David dikenali sebagai seorang penerbit dan penganjur kelab malam. Walaupun dia sering muncul dalam acara industri hiburan, tiada bukti jelas menunjukkan dia memiliki sebarang kredit rasmi dalam filem atau rancangan televisyen.
Selain kes pembunuhan dua wanita ini, David juga disabitkan kesalahan atas serangan seksual terhadap tujuh wanita lain.
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan rogol secara paksaan, dua pertuduhan serangan seksual menggunakan kekerasan, serta satu pertuduhan merogol individu tidak sedarkan diri dan satu pertuduhan liwat secara paksaan. Semua pertuduhan ini adalah untuk jenayah yang berlaku antara 2007 dan 2020.
Pihak berkuasa terus menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan terhadap mangsa dan keluarga mereka.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI