“Norman & Memey Memang Ditakdirkan Bersama, Perasaan Suami Isteri Dah Tiada Lagi,” – Abby Abadi

Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi mendedahkan dia sebenarnya sudah lama melupakan episod hitam yang melanda dirinya selepas bercerai dengan bekas suami yang juga merupakan aktor popular, Norman Hakim.

Menurut Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, dia akui pada awalnya dia berasa agak sedih untuk melalui fasa tersebut, namun dia bersyukur kerana Allah memberikannya kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Kisah move ini sudah pun 14 tahun berlalu. Untuk kisah saya, sebenarnya saya dah lupakan pun sebab saya dah lama move on daripada kejadian itu. Pada awalnya memang sakit sangat sebab masa itu, saya ada anak-anak yang masih kecil.

“Kesedihan saya pada ketika itu hanya kerana anak-anak tapi saya cepat pulih semula daripada keadaan itu sebab saya rasa Allah sayangkan saya. Jadi, saya bersyukur sangat.

“Hikmah daripada kejadian tersebut adalah Allah beri saya kehidupan baru. Kalau saya tak lalui semua itu, tak mungkin saya akan jadi seperti hari ini,” katanya.

Bekas anggota kumpulan Elite itu berkata sedemikian ketika menjadi tetamu undangan di program Wanita Hari Ini pada Isnin.

Katanya lagi, hikmah daripada ujian yang dilaluinya itu menjadikan dirinya lebih dekat dengan Sang Pencipta.

IKLAN

“Saya lalui satu ujian yang sangat hebat untuk seorang wanita pada ketika itu. Ada satu ketika saya rasa seperti tak tahu nak ke mana. Saya tak putus berdoa ‘Ya Allah tolong la aku’.

“Ada setengah orang bila ditimpa ujian besar seperti itu, mereka akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara yang tak sepatutnya. Tapi saya pula Allah bukakan jalan baru yang lebih baik.

“Allah beri semangat untuk saya terima kenyataan. Orang dah tak sudi, jadi kita berbalik kepada qada’ dan qadar Allah,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Abby turut bersyukur kerana dia dan bekas suami sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak-anak meskipun selepas berpisah.

“Saya rasa masing-masing ada kesedaran sama ada daripada pihak saya dan juga bekas suami. Untuk kisah kami ini, saya yang mulakan dahulu untuk buka jalan mencari penyelesaian terbaik.

“Sesetengah pasangan bila bercerai, mereka tak bagi berjumpa dengan anak tapi untuk kisah kami ini, itu tidak berlaku. Kami tidak berebut anak-anak. Kita sama-sama jaga sebab saya tahu nanti Allah akan tanya. Tanggungjawab itu kami pikul bersama,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, pelakon yang sinonim menerusi drama, Gerak Khas ini turut berharap agar masyarakat dapat berfikiran lebih terbuka mengenai hubungan baik bersama bekas pasangan meskipun selepas berpisah.

“Apapun, saya memang nampak Norman dan Memey memang ditakdirkan untuk bersama. Sebenarnya perasaan suami isteri tu dah tiada lagi. Kami ni memang hanya berkawan. Kalau kami beraya bersama itu, anak-anak pun ada.

“Saya akui memang ada yang kecam. Ada yang kata saya ni masih lagi nak dekat Norman sebab itu masih nak beraya sama-sama. Nampak macam saya pula yang salah sebab nak rebut Norman.

“Saya rasa perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Masyarakat kena lebih terbuka. Saya berbaik ini kerana Allah. Saya nak anak-anak saya membesar dalam keadaan tiada tekanan dan harmoni. Kita boleh pilih yang baik, kenapa nak yang sebaliknya,” akhirinya.

IKLAN

Sekadar informasi, Norman berkahwin dengan Abby pada 2002 tetapi bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim Marissa Dania Hakim dan Danisha Hakim.

Norman dan Memey mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Abby Abadi & YouTube TV3