
Pelakon Syafiq Kyle bersyukur apabila impiannya untuk mendirikan rumah tangga bersama cinta hatinya, aktres Mimi Lana akhirnya menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, Syafiq memaklumkan dia dan Mimi belum sempat untuk berbulan madu kerana sibuk dengan jadual kerja masing-masing.
“Alhamdulillah, doa anda yang membawa saya dan Mimi ke jenjang pelamin. Terima kasih banyak dan doakanlah yang baik-baik.
“Kami berdua sangat sibuk. Nak bercuti pun tak sempat. Kami banyak menghabiskan masa di Taiping. Kita pun bakal berpuasa tidak lama lagi.
“Jadi, kami bercadang untuk bercuti selepas hari raya,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana episod akhir drama terbitan Viu Original, Gadis Masa di Aloft Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Buat Perkara Wajib & Perlu Sahaja
Dalam pada itu, pelakon filem Takluk: Lahad Datu ini turut menjelaskan majlis pernikahan telah diadakan secara tertutup bagi menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga.
“Kenapa memilih untuk mengadakan kejutan? Segala persiapan dan perjalanan sehingga hari nikah, saya hanya buat perkara yang wajib dan perlu sahaja.
“Apa yang saya buat itu adalah diatas kehendak dan persetujuan daripada keluarga. Jadi, saya menghormati pihak Mimi dan dia juga menghormati pihak sayaz
“Jadi, kami putuskan untuk ishtiharkan berita tersebut pada hari pernikahan kami. Pada saya, itu lebih baik,” katanya lagi.
Ramadan Lebih Indah
Dalam pada itu, Syafiq akui teruja apabila bakal menyambut ketibaan bulan Ramadan bersama isteri tercinta.
“Tahun lepas saya berpuasa seorang diri. Saya habiskan waktu saya sehingga Hari Raya untuk menunaikan umrah di Mekah.
“Mungkin itu adalah doa-doa saya. Saya mahu puasa tahun seterusnya dengan suasana yang lebih manis. Alhamdulillah Allah jawab doa saya dan ibu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bintang kelahiran program Hero Remaja 2012 ini turut bersyukur kerana dikurniakan peminat yang sentiasa tumpang gembira dengan perjalanan hidupnya.
“Saya pun tak tahu macam mana nak respon dan agak gemuruh. Saya takut andai tersalah cakap. Hal ini adalah seperti rumusan hidup.
“Setiap orang boleh membuat andaian dan punyai jalan cerita. Alhamdulillah ramai yang memberikan respon positif kepada saya,” akhirinya.
Untuk rekod, Syafiq dan Mimi mendirikan rumah tangga secara tertutup yang dihadiri keluarga dan sahabat handai di Taiping, Perak pada 14 Februari lalu.
Dalam perkembangan lain, Syafiq merupakan salah seorang pelakon bagi drama bersiri terbitan Viu Originals iaitu Gadis Masa.
Selain Syafiq, pelakon lain membarisi drama berkenaan ialah Mira Filzah, Tracie Sinidol, Nadia Aqilah dan Haziq Husni.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI