
Pencipta kandungan media sosial popular Malaysia, Ammar Nazhan dan Aras, mencetuskan kontroversi apabila mereka didapati sengaja mereka kisah kehilangan teman mereka, Eykaa, di sebuah hutan di Bandung.
Perbuatan ini dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan di media sosial dan menjadi perbualan hangat warganet.
Namun di sebalik kekacauan yang berlaku, penipuan mereka akhirnya terbongkar apabila pihak polis Indonesia menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa senario yang terjadi hanyalah rekaan semata-mata.
Menurut laporan KumparanNews, polis pada Khamis mengesahkan bahawa siasatan mereka mendapati tiada sebarang insiden kehilangan seperti yang didakwa.
“Keterangan Ammar dan Aras menunjukkan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut, RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu melalui TikTok dengan cerita sensasi bahawa pempengaruh Malaysia (Eykaa) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal,” ujar Kepala Kepolisian Sektor Panyileukan, Kompol Kurnia.
Tambahnya lagi, kandungan tersebut dirancang dengan tujuan semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut tanpa menyedari bahawa tindakan mereka boleh membawa kesan undang-undang.
Polis menegaskan bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman berat terhadap penyebar berita palsu, apatah lagi jika ia mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh mengundang implikasi undang-undang kerana kandungan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa meskipun sudah diberikan kelulusan oleh pengurus wilayah setempat,” jelas Kurnia lagi.
Menurut laporan tersebut lagi, selepas siasatan, Ammar dan Aras akhirnya mengakui kesilapan yang dilakukan. Mereka meminta maaf kepada pihak polis dan mengeluarkan kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI