Perkahwinan pelakon tersohor Hollywood, Nicole Kidman dan penyanyi muzik country terkenal, Keith Urban, akhirnya berakhir secara rasmi selepas hampir dua dekad membina rumah tangga bersama.
Mahkamah di Nashville, Tennessee mengesahkan perceraian pasangan itu pada 6 Januari lalu, sekali gus menoktahkan ikatan perkahwinan yang terjalin sejak 2006.
Difahamkan, permohonan perceraian tersebut difailkan atas alasan perbezaan yang tidak dapat didamaikan selepas 19 tahun hidup bersama sebagai suami isteri.
Tiada Tuntutan Nafkah
Menurut dokumen mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perceraian itu secara baik tanpa sebarang tuntutan nafkah pasangan mahupun nafkah anak.
Mereka juga sepakat menanggung kos guaman masing-masing tanpa pertikaian lanjut, sekali gus menggambarkan proses perpisahan yang matang dan berhemah.
Dalam aspek penjagaan anak, Nicole diberikan tanggungjawab sebagai penjaga utama kepada dua anak perempuan mereka, Sunday Rose, 17, dan Faith Margaret, 15.
Sementara itu, Keith pula diberikan hak lawatan serta tempoh masa tertentu bersama anak-anak mengikut perancangan keibubapaan yang telah dipersetujui bersama.
Ads
Jaga Privasi Keluarga
Sepanjang proses perceraian tersebut, pasangan berkenaan memilih untuk menjaga privasi keluarga dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka kepada umum sekaligus meletakkan kebajikan anak-anak sebagai keutamaan.
Untuk rekod, Nicole dan Keith mula berkenalan pada 2005 sebelum melangsungkan perkahwinan setahun kemudian dalam sebuah majlis tertutup di Sydney, Australia.
Sepanjang hampir dua dekad bersama, pasangan ini sering dianggap antara ikon rumah tangga stabil dalam dunia hiburan antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari menegaskan pihak Astro tidak bercadang untuk mengambil tindakan atau menyingkirkan penyanyi, Nubhan Ahamad daripada meneruskan saingan di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) susulan kontroversi rumah tangganya bersama bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut Idlan, Astro berpandangan segala perkara yang berlaku melibatkan Nubhan berkaitan hal peribadi dan dia juga tidak pernah melanggar sebarang peraturan sepanjang bertanding di GV12.
“Kami sedar akan keperihatinan penonton dan peminat terhadap para peserta GV12 terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah peribadi.
“Kami memang mengambil maklum tentang apa yang berlaku kepada Nubhan. Namun, Nubhan tidak melanggar apa-apa peraturan, undang-undang dan terma syarat pertandingan.
“Sebagai peserta, Nubhan masih layak untuk kekal menyertai program GV12,” katanya kepada MH.
Idlan berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert suku akhir GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Idlan pada masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan prihatin terhadap perkembangan para peserta yang masih dalam saingan di GV12.
“Bagaimanapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan penonton kerana terus memberikan sokongan dan perihatin terhadap para peserta GV12,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Idlan menyifatkan segala isu yang berbangkit terutamanya melibatkan hal-hal peribadi para peserta adalah perkara di luar kawalan pihak produksi.
“Apa sahaja reaksi penonton dan hal-hal peribadi melibatkan para peserta merupakan perkara di luar kawalan pihak produksi dan Astro.
“Apa yang kami mampu kawal adalah untuk memberikan kualiti rancangan terbaik setiap minggu.
“Semoga ke depannya kita tetap mampu memberikan persembahan yang terbaik,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada pihak Astro ada mengadakan pertemuan bersama Nubhan untuk membincangkan isu berbangkit termasuk saranan boikot daripada netizen, Idlan memaklumkan setakat ini, mereka lebih memberikan fokus terhadap persembahan mingguan.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang kenyataan atau maklum balas daripada Nubhan mengenai hal tersebut,” kongsinya lagi.
Terdahulu, kemelut rumah tangga di antara Nubhan dan bekas isteri seolah-olah masih belum berkesudahan.
Baru-baru ini, nama Nubhan sekali lagi menjadi perhatian selepas dia didakwa mengambil keputusan untuk memindahkan barang-barang milik bekas isteri keluar daripada rumahnya.
Terdahulu pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai kali kedua dengan Afifah.
Lafaz cerai pertama dibuat pada 19 Januari 2017 sebelum pasangan itu rujuk pada 21 Januari 2017, manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk yang membabitkan kejadian pada 2017 dan 26 Ogos lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan, serta Afzan Nayille.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon terkenal Hollywood, Evangeline Lilly, mendedahkan dirinya mengalami kecederaan otak selepas terlibat dalam satu insiden jatuh yang berlaku di Hawaii pada Mei tahun lalu.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh bintang filem Marvel, Ant Man itu menerusi satu hantaran di Instagram awal Januari lalu, apabila keputusan imbasan otak terbaharunya menunjukkan hampir keseluruhan fungsi otaknya kini berada pada tahap keupayaan yang menurun.
Menurut pelakon berusia 46 tahun itu, insiden berkenaan berlaku ketika dia berada di sebuah pantai di Hawaii sebelum tiba-tiba pengsan lalu terjatuh dengan muka terlebih dahulu ke atas bongkah batu, menyebabkan dia mengalami gegaran otak yang serius.
“Saya melangkah masuk ke tahun baharu ini, tahun Kuda, dengan satu berita buruk mengenai kecederaan gegaran otak yang saya alami,” ucapnya
Lilly turut memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan mendapati hampir setiap bahagian otaknya kini berfungsi pada kapasiti yang lebih rendah berbanding keadaan normal, sekali gus mengesahkan tahap kecederaan yang dialaminya adalah serius.
Sebelumi ini beliau menyangka perubahan fizikal dan kognitif yang dialaminya berpunca daripada faktor hormon atau perimenopaus.
Walaupun berdepan diagnosis yang mencabar, pelakon yang turut dikenali menerusi siri televisyen Lost itu menyifatkan pendedahan tersebut sebagai satu bentuk kelegaan kerana akhirnya mendapat penjelasan perubatan yang jelas terhadap keadaannya.
Katanya, langkah seterusnya adalah bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan bagi memahami tahap pemulihan yang mungkin dicapai, walaupun menyedari proses berkenaan memerlukan masa dan usaha yang panjang.
Dalam perkongsian sama, Lilly turut menyatakan kecederaan tersebut memaksanya memperlahankan rentak kehidupan, sekali gus memberi ruang untuk berehat dan menilai semula keutamaan hidup, sesuatu yang jarang dinikmati sepanjang kerjaya seninya.
Untuk rekod, Lilly sebelum ini pernah mendedahkan mempunyai sejarah pengsan sejak usia muda, namun sehingga kini punca sebenar keadaan itu masih belum dikenal pasti sepenuhnya oleh pihak perubatan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon, Ben Amir akhirnya merungkai teka-teki yang menjadi perbualan netizen sejak kebelakangan ini apabila mengesahkan dirinya telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Liana Alara.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Ben menerusi sebuah hantaran di Instagram pada petang Sabtu.
Bagaimanapun, pelakon filem Gantung: Musketeer Code ini tidak memperincikan secara jelas tarikh sebenar majlis pernikahan tersebut berlangsung.
“Alhamdulilah, dengan izin Allah kami telah disatukan pada December 2025,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Ben turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah menitipkan doa dan ucapan baik buat dirinya dan isteri.
“Dengan rendah hati saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas doa dan ucapan baik semua,” kongsinya lagi.
Menerusi hantaran tersebut, Ben turut berkongsi beberapa keping foto yang memaparkan dirinya bersama isteri ketika majlis pernikahan berlangsung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen serta rakan selebriti tampil mengucapkan tahniah dan mendoakan agar rumah tangga pasangan ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
Sekadar informasi, Liana Alara merupakan wanita asal Filipina yang difahamkan telah memeluk agama Islam pada November lalu.
Terdahulu, nama Ben dan Liana menjadi tumpuan ramai sejak beberapa hari lalu selepas mereka berkongsi foto-foto mengenakan persalinan sedondon berwarna putih.
Penerbit Eksekutif dan Pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026, Puan Sri Tiara Jacquelina, meluahkan keterujaannya selepas melihat sambutan luar biasa daripada para peminat sejurus teaser pertama karya ikonik itu dilancarkan baru-baru ini.