Setelah mencipta sukses tersendiri sejak hari pertama ditayangkan, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencipta sensasi apabila kali ini berjaya menarik minat platform penstriman popular dunia, Netflix.

Menurut pengarahnya, Syamsul Yusof, pihak Netflix dikhabarkan bersedia untuk membeli filem tersebut dengan harga RM7 juta untuk ditayangkan.

Katanya lagi, filem ini secara tidak langsung telah membuka mata dunia untuk mengiktiraf karya-karya tempatan.

“Untuk pengetahuan para penerbit di luar sana, Netflix mahu beli Mat Kilau dengan harga RM7 juta. Kita jangan cakap dulu mengenai bajet filem ni.

“Sekarang ni kita bercakap tentang tiada filem Melayu yang mereka sanggup bayar sampai RM7 juta sebelum ini. Saya pun terkejut pada awalnya

“Maknanya, mereka semua ini nampak ada sesuatu pada filem ini dan sebab itu mereka tak kisah beri harga sedemikian. Kita boleh pergi jauh sebenarnya,” katanya.

Syamsul berkata sedemikian ketika ditemubual menerusi segmen Mulut Puaka Session 2.0 yang ditayangkan disaluran Youtube Zhafvlog baru-baru ini.

Dalam pada itu, anak kepada pelakon dan pengarah tersohor, Yusof Haslam ini juga turut berharap agar pencapaian filemnya itu mampu menaikkan lagi semangat para pembikin filem tempatan untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya hebat selepas ini.

“Syukur sekarang ini kita ada pelbagai platform penstriman. Segalanya berbalik kepada karya itu sendiri. Kalau karya itu baik dan mampu buktikan yang ia boleh sukses di negara sendiri, mereka pasti akan tawar harga yang baik.

“Kita kena fokus pada produk dahulu. Tolak tepilah dulu Netflix, nak tayang atau menang anugerah di luar negara. Karya itu dahulu yang harus diutamakan.

“Korang semua mungkin tidak akan percaya marketing filem Mat Kilau ni tak sampai RM300,000. Gilakan bunyinya. Saya bercakap perkara ini sendiri pada ayah saya.

“Kita tak perlukan bajet yang besar. Mungkin sesetengah orang kurang senang kalau saya kata sebegini. Saya bercakap bagi pihak para pembikin filem yang tiada bajet besar. Mereka juga boleh sukses sebenarnya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Syamsul berpandangan para pembikin filem tidak sepatutnya terlalu mengejarkan pengiktirafan sebaliknya, mereka harus memberikan sepenuh tumpuan untuk menghasilkan karya-karya yang hebat.

“Saya tak kata pembikin filem yang menyasarkan filem mereka ditayangkan di luar negara ini tak bagus, saya okay sahaja tapi bukan itu sebenarnya yang harus diutamakan dulu.

“Segala pengiktirafan itu akan datang sendiri nanti bila karya kita bagus. Contohnya macam filem Munafik 2 yang memenangi Anugerah Asia Pasifik. Saya sendiri tak sangka tapi tetap syukur.

“Tapi kalau tiada penganugerahan tersebut, saya tetap akan rasa sama je. Saya akan sentiasa berubah ke arah yang lebih baik,” kongsinya lagi.

Terdahulu, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan RM71 juta selepas tiga minggu ditayangkan.

Filem ini dibintangi ramai pelakon-pelakon hebat tanah air antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin dan Johan Asaari.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Syamsul Yusof & YouTube Pure Pixels

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI