
Penyanyi dan penulis lagu, Aisha Retno menafikan dakwaan bahawa insiden dirinya pengsan selepas membuat persembahan di acara Grand Final Talk To My Manager (TTMM) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini berpunca daripada gangguan mistik.
Menurut Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, kejadian itu berlaku disebabkan kepenatan melampau selain tidak mengikut jadual makan dengan betul.

“Saya sudah banyak kali buat persembahan di tempat Auditorium MBSA, tapi sebelum ini, semuanya baik-baik sahaja. Mungkin pada waktu itu, saya memang penat. Malah, makan pun agak lambat.
“Kemudian, mungkin suasana ramai orang memberi kesan kepada masalah serangan panik saya. Itu sahaja yang saya boleh katakan. Selain daripada itu, seperti perkara mistik, setakat ini Alhamdulillah tidak pernah berlaku,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sutera itu ditemui ketika menghadiri All Star Influencers Award (ASIA) 2025 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Ahad lalu.
Pada masa sama, Aisha menjelaskan dia tidak mahu mengaitkan kejadian itu dengan hal-hal mistik, sebaliknya lebih percaya pada penjelasan sains dan perubatan.

“Saya tak berani nak sentuh mengenai itu (gangguan mistik) sebab sejujurnya saya tak pernah diganggu sebelum ini. Tetapi ada beberapa pihak yang memberitahu saya ada kena ‘benda’ itu.
“Tapi saya tak teruskan siasatan kerana saya rasa ‘benda’ itu hanya sepintas lalu. Saya lebih cenderung melihat dari sudut saintifik.
“Jadi, saya fikir ketika itu mungkin saya cuma kepenatan dan perlukan rehat. Untuk hal itu, saya memang tak berani nak ulas lebih,” katanya.
Perbuatan Mistik Dalam Industri?
Walau bagaimanapun, Aisha tidak menolak perkara mistik mungkin boleh berlaku, namun berharap perbuatan seperti itu tidak dinormalisasikan dalam industri seni.

“Jika benar hal-hal mistik itu berlaku kepada Amad, insan-insan seni lain atau mungkin diri saya sendiri, pada saya, perbuatan ini sangat tidak baik.
“Sewaktu awal pembabitan saya di dalam dunia seni, saya kurang percaya hal-hal mistik di dalam industri ini. Malah, beberapa tahun sebelum ini, saya rasa semuanya baik-baik sahaja.
“Namun, bila nama saya mula ‘mendaki puncak’, saya dapat rasakan ada beberapa pihak seperti punyai niat yang tidak baik. Kini saya percaya dan lebih berhati-hati,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Aisha turut memaklumkan, keadaan kesihatannya kini semakin baik dan dia sudah kembali pulih seperti sedia kala.

“Alhamdulillah, saya sihat dan sejujurnya saya tak pernah nampak apa-apa (perkara mistik) sepanjang 25 tahun hidup. Tapi Alhamdulillah kali ini saya lebih cepat pulih sebab ada ibu dan ayah di sisi.
“Saya memang ada sejarah mengalami serangan panik dan ia bukan boleh dipulihkan sepenuhnya, tetapi saya rasa dengan masa, saya semakin mampu mengawalnya,” katanya.
Jelasnya lagi, pengalaman tersebut membuka mata tentang pentingnya menjaga kesihatan walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat.
Terdahulu, Aisha mengalami serangan panik selepas membuat persembahan bersama finalis TTMM, Marsya, anak kepada penyanyi terkenal Liza Hanim.

Pada malam sama, penyanyi cilik, Amad turut dilaporkan mengalami gangguan kesihatan secara sehingga menjejaskan persembahan akhirnya.
Ekoran dua insiden itu, ramai pihak mula membuat spekulasi yang kononnya kejadian berkenaan mungkin berpunca daripada gangguan mistik.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

