
Penyampai radio dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau mesra disapa KJ, mengakui belum mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif dalam dunia politik.
Sebaliknya, beliau kini lebih bahagia menikmati fasa kehidupan yang membolehkannya melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan ketika bergelar ahli politik.
“Mungkin satu hari nanti. Ketika ini, saya sedang menjalani hidup yang sangat hebat. Saya dapat bekerja dengan orang-orang hebat dan jenama-jenama tempatan.
“Saya rasa sangat bertuah kerana ada tempoh keluar sekejap ini. Jika tidak, saya tidak akan merasai peluang seperti ini.
“Bila dapat bantu dan lihat jenama tempatan berjaya, saya seronok rasanya. Saya sedang menikmati momen ini,” katanya kepada MH.
KJ berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran menu baharu jenama minuman popular Tealive di IOI City Mall, Putrajaya, pada Khamis lalu.
Fokus, Ini Masa Dengan Keluarga
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi bahawa masanya kini lebih diutamakan untuk keluarga, selepas bertahun-tahun dikorbankan demi negara.
Baginya, tempoh ‘rehat’ ini adalah peluang keemasan yang tidak ternilai.
“Saya banyak berkorban waktu bersama anak-anak dan keluarga sewaktu saya di dalam dunia politik. Kini saya sedang kejar semua waktu yang telah dikorbankan itu.
“Saya tiada penyesalan kerana mereka juga faham. Saya yang buat pilihan untuk terjun ke bidang politik dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Selama dua tahun ini, saya dapat membayar semula hutang masa dengan keluarga saya. Saya sangat bersyukur.
“Walaupun peluang ini hadir tanpa dirancang dan hadir kerana kekalahan, pada akhirnya ia kemenangan bagi saya untuk mengejar masa yang hilang,” ujarnya lagi.
Walaupun ada desas-desus mengatakan beliau akan kembali ke arena politik negara susulan perubahan dalam barisan kabinet, KJ tampil menafikan spekulasi tersebut.
“Saya bukan ahli Perikatan Nasional. Buat masa ini juga, saya juga masih bukan ahli UMNO. Tiada apa yang perlu saya komen. Kita fokus saya pada majlis ini,” katanya ringkas.
Beliau kini kekal selesa di kerusi penyampai radio sambil aktif melibatkan diri dalam pelbagai kolaborasi jenama tempatan, memperlihatkan sisi berbeza beliau selepas dunia politik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Khairy Jamaluddin
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI