Program The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3) melakukan kejutan apabila Cik Mawas yang kononnya menjadi peserta pertama tersingkir sebenarnya ialah penyanyi popular, Misha Omar.

Identiti penyanyi lagu Ku Seru itu akhirnya terjawab selepas dia membuka maskot sejurus diumumkan sebagai peserta yang menerima markah terendah untuk minggu ini daripada barisan juri.

‘Cik Mawas’ sebelum itu menyanyikan lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti oleh Anneth yang sekaligus menyaksikan tiada penyingkiran bagi minggu ini.

Malah, Misha turut diumumkan sebagai juri kesembilan dan sama-sama bakal menjurikan TMSMY3 bersama lapan juri lainnya bermula minggu depan.

“Kita memang game dia itulah… tak akan terdapat di dalam rancangan yang lain. Bagi rasa ia berbentuk hiburan. Plot cerita… semuanya akan berkembang kan.

IKLAN

“Jadi sudah tentulah kena ada elemen-elemen macam ini,” kata Misha selepas ditanya mengenai perasaan bergelar peserta dan juri pada masa sama.

Minggu hadapan bakal menyaksikan 14 lagi maskot berentap dan maskot tersebut adalah Mawar Berduri, Kurita, Si Tangkis, Betta Fish, Lollipop dan Bertih Jagung.

Turut bersaing termasuk Zirafah, Abang Burger, Mr Parrot, Manggis, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda dan Dewi Angsa.

IKLAN

TMSMY menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.

Mengekalkan format asal program realiti The King of Mask Singer, kesemua peserta TMSMY musim ini akan memakai kostum menutupi susuk tubuh sambil menyembunyikan identiti masing-masing.

IKLAN

Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan menjadi pertaruhan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara.

TMSMY3 berlangsung selama 10 minggu dan sesi rakaman dijalankan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

The Masked Singer Malaysia musim ketiga bersiaran pada setiap Jumaat, mulai 23 Disember 2022, jam 9.00 malam di saluran Astro Warna HD.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI