“Isu Haqiem Mencipta Gimik Atau Sengaja Mahu Mencetuskan Isu, Dia Harus Tanggung Sendiri,” – Ibu Haqiem Rusli

Pengumuman penyanyi remaja, Haqiem Rusli yang membayangkan sudah terfikir-fikir untuk bersara daripada industri muzik nyata mengejutkan ramai pihak.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik penyanyi Jatuh Bagun itu menerusi Instagram miliknya, Haqiem turut mendedahkan dia ada mengalami masalah depresi sejak sekian lama.

Berkongsi mengenai pengumuman yang dibuat Haqiem, ibunya Nazrah Nordin, 50, tampil memberikan pandangannya berhubung isu berkenaan.

IKLAN

Katanya seperti yang dipetik URTV Online, anaknya itu terkilan kerana dikecewakan kawan-kawan baik sendiri. Menurut Nazrah, Haqiem pernah meluahkan rasa kecewa dan putus harapan dengan apa yang berlaku.

“Haqiem kecewa kawan baik ‘tikam belakang’ dan ‘bermuka-muka’. Hadapan cakap lain, belakang cakap lain pula. Paling sedih, ada yang memperlekeh bakat Haqiem sebagai komposer muda. Tak kurang juga nak laga-lagakan Haqiem dengan orang lain tanpa ada perbincangan secara baik.

 

“Sebagai ibu, saya terkilan kerana kawan-kawan baiknya itu sudah saya anggap seperti ahli keluarga sendiri. Mereka selalu lepak di rumah bersama Haqiem, sudah seperti adik-beradik,” katanya.

Bagaimanapun, Nazrah enggan menyatakan siapakah individu yang dimaksudkan.

“Siapa mereka tu, rasanya biarlah menjadi rahsia antara kami. Saya pun tak mahu aibkan siapa-siapa sebab semuanya boleh diselesaikan cara baik.

 

“Lagi pun, hal ini terjadi antara Haqiem dan kawan-kawannya, rasanya lebih baik mereka yang uruskan serta selesaikan sendiri apa yang berlaku,” dedahnya yang turut menasihati Haqiem agar banyak bersabar dan berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin mengguris hati orang lain.

Pada masa sama, ibu penyanyi terbabit turut memberikan kebebasan buat anak lelakinya itu sama ada mahu teruskan kerjaya dalam seni atau sebaliknya.

“Saya memberi kebebasan kepada Haqiem untuk membuat keputusan. Kalau dia mahu bersara disebabkan kekecewaan itu, terpulanglah. Apa-apa pun, saya nasihatkan dia agar berfikir panjang dan susun perancancan masa depan sebelum membuat keputusan.

 

“Sama ada dia mahu bersara atau tidak dalam nyanyian, tunggulah dia umumkan nanti awal Julai ini. Saya tidak masuk campur kerana beri kebebasan untuk dia fikir apa yang terbaik,” akui Nazrah.

Ditanya sama ada kemungkinan apa yang dilakukan Haqiem sebagai suatu gimik, Nazrah memberitahu, Haqiem perlu tanggung apa sahaja kesannya.

IKLAN

“Andai kata timbul isu Haqiem mencipta gimik atau sengaja mahu mencetuskan isu, dia harus tanggung sendiri kerana itulah keputusan yang dilakukannya. 

 

“Bagi saya, anak remaja ni perlu diberi ruang untuk membuat keputusan. Dalam masa yang sama, ibu bapa dan keluarga haruslah pantau dan sentiasa menyokong apa yang terbaik,”akhirinya seperti yang dipetik.

Foto: Instagram Haqiem Rusli