Pelakon Yusuf Bahrin reda apabila rumah tangganya bersama penyanyi, Zizi Kirana berakhir selepas dia sah melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.
Menurut Yusuf, dia tidak menyangka hubungan mereka akan berakhir sedemikian. Namun, dia tetap percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
“Hari ini, telah pun berlangsungnya prosiding perceraian saya bersama bekas isteri, Zizi Kirana.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, tiada satu pun pasangan di dalam dunia ini yang sukakan perceraian.
“Namun, dalam kisah hidup saya dan Zizi, inilah pengakhirannya yang saya sendiri tak pernah jangka dan tahu ia bakal terjadi di dalam kehidupan saya,” katanya kepada MH.
Ads
Terdahulu, Yusuf melafazkan cerai talak satu terhadap Zizi di hadapan Hakim Syarie, Mohd Saifullah Hamzah pada pagi Khamis.
Berpisah Secara Baik
Jelas pelakon filem The Lord Musang King itu lagi, mereka telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan, namun takdir menentukan sebaliknya.
Ads
“Kami sudah buat yang terbaik dan mencuba sedaya upaya untuk selamatkan perkahwinan tapi ia tetap jadi sebegini,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Yusuf memaklumkan mereka memilih untuk berpisah secara baik tanpa sebarang dendam.
Ads
“Namun, kami berpisah secara baik, tiada permusahan dan dendam. Jadi, saya minta doa daripada kalian untuk mendoakan kebaikkan buat diri kita sendiri dan orang lain,” akhirinya.
Penyanyi Andi Bernadee, kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran single terbaharunya, Aku Nak Kahwin, sebuah lagu santai yang mengangkat realiti kehidupan ramai, khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.
Lagu ini berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin, namun masih menunggu jodoh agar dipermudah.
Menurut Andi, kekuatan lagu ini terletak pada mesejnya yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai.
“Bagi saya lagu ini terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama single dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Ia juga membawa mesej yang jujur dengan lirik yang straightforward, menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalaman sendiri,” jelasnya.
Dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, Andi turut melihat single ini sebagai satu kelainan.
“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan.
Jadi, ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih ‘happy’ untuk pendengar,” tambahnya lagi.
Lagu ini juga mengetengahkan isu yang sering dihadapi generasi muda, khususnya berkaitan tekanan sosial dan keluarga.
“Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul.
“Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat,” katanya.
Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, Ding Geding, bukanlah mudah.
Perancangan pelancaran sebelum ini terpaksa ditangguhkan apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan.
Namun, tempoh tersebut dimanfaatkan untuk berehat dan pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan semangat serta tenaga baharu.
Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin baik, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat.
“Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawastatus seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing.
“Saya berharap ‘Aku Nak Kahwin’ dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang, ‘Ding Geding’,” ujar Andi.
‘Aku Nak Kahwin’ boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 17 April lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dikenali sebagai pengarah iklan komersial yang berpengaruh, nama Bobby Husaini sememangnya tidak asing dalam kalangan syarikat korporat yang sering mendapatkan sentuhan kreatifnya bagi menghasilkan karya berimpak tinggi, khususnya menjelang musim perayaan.
Dalam usaha membawa kelainan ke dalam industri perfileman tempatan, beliau kini tampil dengan filem sulung berjudul Libang Libu.
Selepas lebih dua dekad membina kerjaya dalam dunia komersial, anak kelahiran Ipoh, Perak ini merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri dan membuktikan kemampuan pada skala yang lebih besar.
Walau bagaimanapun, peralihan ke dunia pengarahan filem tidak bermaksud dirinya meninggalkan bidang komersial sepenuhnya.
Sebaliknya, langkah ini dilihat sebagai usaha memperluas horizon kreatif serta memperkukuh portfolio seni beliau.
“Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan (copywriter). Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza.
“Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan, dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya.
“Kemunculan saya sebagai pengarah filem bukan bermakna saya meninggalkan dunia iklan. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang baharu.
“Saya masih mahu terus mengarah iklan, dan pada masa sama menunaikan impian untuk mengarah filem,” katanya.
Mengulas mengenai skeptikal segelintir pihak yang beranggapan sentuhan iklannya mungkin terlalu ketara dalam filem ini, Bobby mengakui tanggapan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk disangkal.
Namun begitu, Bobby melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan melalui karya.
“Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini. Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.
“Jujurnya, ini risiko yang akan dihadapi oleh semua pengarah iklan seperti saya. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tidak kira iklan atau filem, saya akan menghasilkan karya berdasarkan apa yang saya rasa.
Ramai mengatakan iklan saya sedih, tetapi itu bukan tujuan utama saya. Sebenarnya, setiap karya yang dihasilkan membawa mesej yang dekat dengan masyarakat, dan mungkin itu yang membuatkannya terasa menyentuh hati,” jelasnya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai Libang Libu yang bakal ditayangkan pada 23 April ini, tidak dinafikan terdapat pandangan yang melihat gaya penceritaannya seakan-akan menyamai sentuhan karya Allahyarham Mamat Khalid.
Namun bagi Bobby, perbandingan tersebut dianggap sebagai satu penghormatan, di samping beliau tetap mengekalkan identiti dan gaya tersendiri dalam naskhah sulungnya itu.
“Arwah adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau.
“Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita.
“Mengapa Perak? Lokasi penggambaran adalah kampung saya, jadi secara tidak langsung filem ini sangat dekat dengan kehidupan awal saya ketika kecil,” ujarnya.
Selain jalan cerita yang segar, kekuatan filem ini turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda.
Menurut Bobby, pemilihan pelakon memainkan peranan penting, terutama apabila ada pihak yang menganggap Libang Libu sekadar sebuah karya komedi.
“Saya suka bekerja dalam suasana selesa, dan apabila pelakon mampu memberikan yang terbaik, ia memudahkan semua pihak.
“Bila melihat Libang Libu, ada yang membayangkan ia sekadar sebuah filem komedi, tetapi di sebaliknya terdapat banyak isu yang cuba diketengahkan dalam filem ini.
“Jadi, setiap watak dalam Libang Libu ini penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton. Cabaran paling besar bagi saya bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri.
“Namun, sejak awal lagi saya telah berpesan kepada para pelakon agar tidak terlalu tertekan mengenainya, kerana kita juga mahu penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, mengakui turut berasa gembira atas pertunangan bekas isterinya, Bella Astillah, bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Aliff, dia sentiasa mendoakan agar hubungan pasangan tersebut dipermudah dan berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Alhamdulillah, saya juga tumpang gembira bila melihat mereka bahagia. Saya doakan semoga mereka kekal bahagia dan hubungqn berkekalan sehingga ke anak cucu,” katanya kepada MH.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran platform penstriman, iQIYI di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Sayang Sayang itu memaklumkan dia ada menonton klip-klip majlis pertunangan tersebut yang dikongsikan orang ramai, dan turut berasa gembira melihat anak-anaknya tersenyum.
“Saya tak perlu mencari pun tapi ramai orang yang hantar klip-klip itu kepada saya dan saya ada menontonnya juga. Sejujurnya saya mendoakan yang terbaik.
“Ini jujur daripada saya. Saya bukan sahaja bercakap. Saya betul-betul rasa gembira buat mereka.
“Bila lihat anak-anak juga gembira, saya pun ikut gembira. Buat anak-anak saya, mereka sentiasa ada dalam doa saya,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai soal pasangan hidup, Aliff memilih untuk menyerahkan sepenuhnya urusan jodoh kepada Allah SWT sambil memberi fokus kepada memperbaiki diri.
“Buat masa sekarang, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Ini bukan klise. Ada banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki dan usahakan.
“Mungkin selepas ini saya nak badan saya jadi lebih fit. Nak fokus dunia lakonan juga. Saya kini nak bangkit semula secara perlahan-lahan.
“Sekiranya waktu itu sampai, itu di luar pengetahuan saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Aliff turut berharap agar orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Saya juga mengharapkan anda semua juga dapat mendoakan yang terbaik juga buat saya.
“Sama ada yang suka atau tak suka dengan saya, saya tetap ingin berterima kasih. Doakan semoga ada kebaikkan yang akan Allah kurniakan kepada saya.
“Semoga saya dapat berubah dan menemui cara hidup yang lebih baik. Saya hanyalah insan biasa yang bergiat sebagai anak seni.
“Saya bukan malaikat atau nabi. Saya bukan nak berdakwah. Tapi inilah perkara yang saya percaya membuatkan diri saya berasa tenang dan mahu bangkit setiap hari untuk jadi lebih baik,” akhirinya.
Untuk rekod, Aliff Aziz dan Bella Astillah pernah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Mereka kemudian bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk, namun berpisah kali kedua pada Mac 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Terdahulu, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah melangsungkan majlis pertunangan pada 28 Mac lalu.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pempengaruh Syifa Melvin meluahkan rasa terkilan apabila melihat ada di antara wanita terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selepas tersalah memilih pasangan hidup.