
Walaupun ramai beranggapan dirinya lebih layak memegang gelaran Raja Rock Malaysia, legenda muzik rock tanah air, Amy Search menegaskan dirinya tidak pernah mengejar sebarang bentuk pengiktirafan sepanjang bergelar anak seni.
Menurut Amy, dia amat menghargai pandangan rakan seperjuangannya, Awie yang merasakan dirinya layak menggalas gelaran tersebut.
Namun begitu, Amy lebih selesa memberi fokus terhadap penghasilan karya yang lahir secara jujur tanpa terlalu memikirkan soal penghargaan atau status.

“Terima kasih buat Datuk Awie diatas penghargaan itu. Secara peribadi, saya tak pernah merasakan diri saya berada di posisi seperti itu kerana saya hanya buat kerja saya sahaja.
“Selebihnya, biarlah peminat sendiri yang menilai. Saya hanya mahu berkarya sejujur yang mungkin. Selagi perjalanan itu masih ada, selagi itu saya akan lukiskan perjalanan seni saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Isabella itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem 5 Bomoh yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Amy turut berpandangan bahawa industri seni bukanlah satu perlumbaan, sebaliknya perjalanan peribadi setiap anak seni dalam mengejar impian masing-masing.

“Pada saya, seni ini bukan satu perlumbaan. Saya tak pernah nak berlumba dengan sesiapa pun. Setiap orang ada perjalanannya sendiri. Kita warnakan perjalanan itu sendiri.
“Ciptalah mimpi dan impian kita sendiri. Apa yang kita usahakan, itulah matlamat yang kita kejarkan. Saya tak kejar gelaran,” ujarnya lagi.
Kembali Berlakon Selepas Sekian Lama
Dalam perkembangan lain, Amy bakal kembali membuat kemunculan istimewa di layar perak menerusi filem terbaharu berjudul 5 Bomoh selepas sekian lama berehat daripada dunia lakonan.
Menurut Amy, dia teruja untuk kembali terlibat dalam projek filem selepas kali terakhir muncul sebagai pelakon utama menerusi filem Isabella pada tahun 1990.

“Selepas filem Sayang, Fenomena dan Isabella, ini adalah filem keempat saya. Filem-filem lain saya muncul sebagai cameo sahaja. Indiviu yang meyakinkan saya adalah Datuk Khairul Anwar Salleh.
“Beliau bagitahu, ada orang nak tawar saya berlakon filem dan bawa watak bomoh. Agak lama juga mereka nak meyakinkan saya.
“Bila jumpa penerbit dan pengarah, katanya watak ini sesuai dengan diri saya. Bila saya tanya siapa pelakon lainnya, mereka kata Khairy Jamaluddin sudah bersetuju. Saya pun terima tawaran ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Amy mengakui dia perlu menyesuaikan diri semula dengan suasana penggambaran yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Anda mungkin berminat dengan

“Saya bukannya aktif berlakon seperti pelakon-pelakon lain. Suasana berlakon dahulu pun sangat berbeza. Mulanya saya agak gemuruh juga. Saya pun agak lambat nak menghafal skrip.
“Alhamdulilah, mereka juga banyak memberikan saya tunjuk ajar. Jadi, saya usaha berikan yang terbaik. Dahulu, saya banyak berlakon filem cinta sahaja. Kini saya dapat cuba jadi bomoh pula,” akhirinya.
Terdahulu, filem 5 Bomoh bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun ini.
Selain Amy dan Khairy Jamaluddin, filem tersebut turut dibintangi Aaron Aziz, Scha Alyahya, Ozlynn, Johan serta ramai lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

