Pelakon dan anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi menitipkan nasihat kepada artis baharu agar mencari dan memantapkan identiti muzik terlebih dahulu sebelum merancang untuk mengeluarkan single raya.
Menurut Eric, penyanyi baharu perlu bijak merangka perjalanan kerjaya seni supaya setiap usaha dan pelaburan yang dibuat tidak berakhir dengan kerugian.
“Adik-adik artis baru, jangan bazirkan duit untuk buat lagu raya. Gunakan duit itu buat modal untuk single anda.
“Lekat dan pakukan identiti karya anda dulu dekat pendengar dengan hasilkan single anda banyak-banyak,” tulisnya.
Pandangan tersebut dikongsikan oleh pelakon filem Klepet itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Ads
Lagu Raya Bersifat Bermusim
Eric turut berpendapat, tempoh promosi untuk lagu raya singkat, sekali gus menjadikan peluang untuk menembusi pasaran lebih mencabar.
“Kalau mampu buat album. Lepas tu baru buat lagu raya. Lagu raya ini orang dengar dua minggu sahaja melainkan dia hype dan akan evergreen.
“Kalau sudah lagu raya anda tu tiada identiti, dan sound sama macam lagu raya yang lain, sudahnya jadi apa? Membazir. Selamat maju jaya dalam industri yang nazak ini,” kongsinya lagi.
Ads
Sejak kebelakangan ini, isu lambakan lagu raya baharu, terutamanya daripada artis baharu dan pempengaruh hangat diperkatakan di media sosial.
Ramai berpendapat sebahagian lagu yang dihasilkan kurang menepati tema serta semangat sambutan Hari Raya, sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.
Ads
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Pelakon, Zahiril Adzim menafikan dakwaan kononnya dia menjalani prosedur pembedahan pada bahagian wajah bagi mengubah bentuk hidungnya.
Penjelasan itu dibuat susulan tular sebuah video yang memaparkan dirinya sedang menerima rawatan untuk mengecilkan bahagian bunga hidung di sebuah klinik kecantikan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Mengulas perkara tersebut, Zahiril menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mengubah rupa paras.
Sebaliknya, rawatan yang dijalani hanyalah bertujuan melemahkan otot di bahagian hidung agar tidak terus membesar seiring peningkatan usia.
“Saya tak tengok lagi video itu dan membaca komen-komennya. Saya tak tahu nak ulas apa lagi. Namun, kalau anda boleh lihat, hidung saya memang agak besar.
“Kalau betul saya nak kecilkan hidung, saya akan buat sahaja terus. Rawatan itu sebenarnya adalah untuk melemahkan otot hidung agar tidak terus membesar.
“Semakin kita berusia, keadaan hidung itu akan mengembang. Itu sahaja. Saya tiadalah tiba-tiba nak buat rawatan hidung untuk nampak seperti artis-artis luar negara,” katanya kepada MH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem Amira Amir yang berlangsung di Tanamekar The Hills, Petaling Jaya pada Selasa.
Menurut Zahiril lagi, sebagai bapa kepada seorang cahaya mata, dia hanya menjalani rawatan tersebut selepas mendapat saranan doktor di klinik berkenaan.
“Saya tidak akan sesekali mengecilkan hidung saya. Jangan risau dan saya tidak akan berahsia. Saya pun tahu pihak klinik tersebut akan memuat naik video rawatan saya itu.
“Ini pertama kali saya menjalani rawatan itu. Saya hanya mencuba sahaja. Doktor di klinik itu ada bertanya apa kerisauan saya fasal wajah. Saya kata hidung saya agak membesar.
“Kemudian, doktor itu ada memberitahu yang mereka ada rawatah untuk melemahkan otot hidung itu. Selepas rawatan, saya rasa bahagian hidung ini lebih lembut,” ujarnya lagi.
Tambahnya, dakwaan kononnya dia sengaja mengubah bentuk wajah juga tidak masuk akal memandangkan dirinya sudah hampir 14 tahun aktif dalam industri seni tanah air.
“Saya tak pernah risau pun tentang keadaan hidung saya. Saya sudah 14 tahun bergelar anak seni. Kalau betul saya nak buat hidung, mungkin sejak awal lagi.
“Dah masuk tahun ke-14, rasanya tak payahlah,” akhirinya.
Terdahulu, video tular yang memaparkan Zahiril menjalani rawatan pada bahagian hidung itu mengundang perhatian ramai.
Malah, terdapat juga individu yang mengingatkannya bahawa sebarang rawatan bertujuan mengubah bentuk wajah adalah haram di sisi agama Islam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Berkesempatan menjalani penggambaran drama Rindu Medina di Tanah Suci, Mekah pada Mac tahun lalu, pelakon Aprena Manrose memanfaatkan peluang tersebut untuk merawat hatinya yang ketika itu baru sahaja bercerai dengan bekas suami, Mohd Afiq Hazman.
Menurut Aprena, keadaan emosinya pada waktu itu secara tidak langsung membantunya menjiwai watak yang sarat dengan permainan emosi.
“Cabaran saya secara peribadi, ketika itu, hubungan saya dengan bekas suami tidak begitu baik. Bila sampai ke Tanah Suci, secara tidak langsung, saya dapat menenangkan diri.
“Pada waku itu, saya baru bercerai dan sedang dalam tempoh iddah. Berlakon pula cerita yang sarat emosi. Jadi, mood ketika berlakon dan di dalam realiti itu sama. Ia memudahkan saya untuk menjiwai watak itu.
“Semoga mereka yang menonton juga dapat sama merasai kesedihan itu. Banyak air mata yang mengalir ketika di dalam dan luar penggambaran,” katanya kepada MH.
Aprena berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran kempen Ramadan dan Raya RTM, baru-baru ini.
Rindu Medina bakal ditayangkan bermula 10 Mac depan di TV1.
Sementara itu, Aprena yang juga anak kepada penyanyi Iwan Syahman, menjelaskan, tempoh berada di Tanah Suci banyak mengajarnya tentang erti reda dan melepaskan sesuatu yang bukan lagi ditakdirkan untuk dirinya.
Aprena turut menambah, sepanjang tempoh iddah, sebahagian besar doanya adalah agar hubungan mereka dipermudahkan untuk kembali bersama.
“Ketika dalam iddah, kebanyakkan doa saya, kalau boleh, saya nak hubungan kami dipermudahkan untuk kembali bersama. Sudah tentu kita nak cuba perbaiki hubungan itu.
“Tiada pasangan berkahwin yang nak bercerai. Selama 14 tahun bersama, saya tak boleh bayangkan bagaimana hidup saya tanpa suami. Saya mahu kami berjodoh semula.
“Namun, bila saya pulang ke Malaysia, Allah bagi satu rasa yang lain. Rasanya seperti ‘dia’ bukanlah orangnya. Cukuplah sampai di sini sahaja. Perasaan itu jadi lain. Saya merelakan dan reda sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Aprena bersyukur apabila proses penggambaran di Mekah berjalan lancar.
Menurutnya, pengalaman tersebut amat bermakna kerana buat pertama kali dia ke Tanah Suci atas urusan kerja, namun tetap berpeluang menunaikan ibadah.
“Ia pengalaman menyeronokkan. Inilah pertama kali saya pergi ke Tanah Suci untuk bekerja. Dalam masa sama, saya dapat beribadah juga. Pada hari pertama, kami buat umrah dahulu.
“Kemudian barulah mula bekerja. Perasaannya agak berbeza. Jika sebelum ini, saya pergi ke Tanah Suci, fokus saya memang pada ibadah. Kali ini, kita juga ada tanggungjawab lain. Namun, semuanya berjalan lancar,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Shiha Zikir kini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Minta Ampun, sebuah karya tradisional sepenuhnya yang sarat dengan mesej mendalam.
Lagu ini mengangkat persoalan tentang keikhlasan dalam memohon maaf yang semakin menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat.
Setiap hari, ungkapan maaf sering dilafazkan tanpa mengira tempat dan situasi. Namun, sejauh mana keikhlasan itu benar-benar lahir daripada hati dan bukan sekadar di bibir?
Persoalan inilah yang cuba diketengahkan Shiha menerusi lagu berkenaan, sambil mengangkat kembali adat Melayu lama yang menitikberatkan keikhlasan dalam setiap permohonan maaf.
“Zaman sekarang, memang ramai orang minta maaf tetapi kadang-kadang, tak dinafikan bahawa bukan semua yang meminta maaf itu ikhlas. Itulah teguran berbentuk sarkastik yang cuba saya sampaikan dalam lagu Minta Ampun,” kata Shiha.
Menurut pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd Zikir, 38, ini lagi, peluang menghasilkan lagu kolaborasi antara syarikat rakamannya, Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia disifatkan sebagai bagai pucuk dicita ulam mendatang.
“Syukur Alhamdulillah, tak dapat digambarkan rasa gembira apabila saya dapat melancarkan lagu tradisional penuh seperti ini.
“Sudah lama saya tunggu dan sebenarnya, sewaktu saya menyertai D’Academy Asia 2015 dahulu, saya ada minta tolong Allahyarham Pak Ngah untuk hasilkan lagu tradisional untuk saya, tetapi sayangnya tak sempat kerana Pak Ngah sudah dijemput Ilahi.
“Selepas itu saya terus mencari lagu tradisional yang sesuai hinggalah saya diberi naskhah yang digubah Hafiz Hamidun serta lirik oleh Fedtri Yahya ini, memang sangat sesuai dengan suara dan kehendak saya.
“Kalau nak tahu, waktu pertama kali saya diberi dengar demo lagu ini pun, saya terus jatuh cinta!, ” katanya lagi.
Shiha turut menjelaskan, proses untuk menyiapkan lagu ini juga sangat mudah.
“Saya cuma minta Hafiz menambah bahagian ‘dance break’ untuk saya tonjolkan lebih elemen tarian ketika mempersembahkannya.
“Selain bersemangat mengangkat irama tradisional dalam lagu ini, saya harap semua pendengar dapat mengambil teladan. Apabila kita meminta maaf, eloklah dibuat dengan ikhlas, Insya-Allah ia boleh meninggalkan kesan positif dalam kehidupan, ” ujarnya.
Menyentuh mengenai kerjasama bersama komposer Hafiz Hamidun, Shiha berpuas hati dan berharap kolaborasi itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Sejujurnya, Hafiz sudah jadi salah seorang komposer kegemaran saya. Bukan apa, dia sangat senang untuk bekerjasama. Apabila saya memberi ‘input’ sebagai penyanyi, dia mudah menerima dan membuat sedikit ubah suai dalam lagu mengikut kesesuaian.
“Selain itu, Hafiz juga banyak membantu dari segi penggayaan vokal khususnya lenggok suara (kerana dia penyanyi nasyid yang pandai bertaranum dan menggayakan lenggok suara), jadi lebih mudah kerja saya, ” katanya lagi.
Ditanya sama ada lagu Minta Ampun menjadi titik permulaan untuk lebih banyak lagu tradisional sepenuhnya selepas ini, Shiha tidak menolak kemungkinan tersebut.
Malah, irama tradisional diakui sebagai cinta hatinya sejak kecil, dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Sharifah Aini serta irama Melayu Asli.
“Irama tradisional memang cinta hati saya. Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Dato’ Sharifah Aini dan lagu-lagu Melayu Asli. Saya ada impian untuk memiliki album yang memuatkan lagu-lagu tradisional.
“Jadi, saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya kumpul lagu tradisional sebanyak yang mungkin.
“Bagaimanapun, saya tahu apa yang saya mahukan. Saya tidaklah berjanji semua demo lagu tradisional yang dihantar kepada saya akan diterima. Memanglah semua lagu-lagu itu sedap belaka, tetapi saya perlu juga pertimbangkan ikut kesesuaian serta cara nyanyian saya.
“Insya-Allah, saya mahu lebih fokus dengan lagu tradisional penuh seperti lagu Minta Ampun ini, itulah misi saya.
“Kalau genre campuran tradisional atau ‘fusion’, saya pernah buat dan ramai juga penyanyi lain yang muncul dengan lagu sebegitu. Jadi, eloklah saya meneruskan legasi lagu-lagu tradisional sepenuhnya, ” jelasnya.
Shiha turut berharap kesungguhannya dalam menghasilkan karya tradisional ini mampu membuahkan hasil serta mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda.
“Saya harap sesiapa saja yang dengar lagu Minta Ampun akan jatuh cinta dan boleh ingat untuk menyanyikannya.
“Bahagian korusnya memang senang diingat selain tarian yang boleh dijadikan trend di media sosial. Semoga selepas ini apabila orang sebut nama Shiha Zikir, mereka akan ingat lagu ini.
“Saya juga berharap lagu ini dapat memberi impak dan pengaruh positif kepada golongan Gen-Z untuk terus mencintai lagu-lagu tradisional kita, ” tuturnya menutup bicara.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan penyanyi Aqasha mengakui dirinya amat teruja apabila sekali lagi diberikan kepercayaan untuk membawakan watak ikonik Hang Tuah menerusi pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026.