Belum pun seminggu insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid yang cedera disamun, seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim turut menimpa nasib malang apabila dia dilaporkan telah disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali, pada Ahad.

Menerusi laporan media, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu sedang membawa keluarganya ke sebuah pusat membeli-belah di Damansara sebelum dua individu berkenaan menghampirinya.

Malah menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, dapat dilihat Faizal yang juga pemain Selangor FC (SFC) itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Sementara itu, perkembangan mengenai insiden berkenaan turut disahkan SFC menerusi satu kenyataan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

“SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

IKLAN

“SFC menyeru penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata SFC.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi turut memaklumkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Dalam perkembangan berkaitan, dua individu bermotosikal berkenaan sempat mengucapkan ‘good luck’ sebelum menyimbah asid kepada pemain sayap negara, Faisal Halim, demikian difahamkan oleh sumber Astro Arena.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam satu kenyataan pada Ahad mengesahkan kejadian yang berlaku dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

IKLAN

“Pada jam 5.52 petang tadi, polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan 999 bahawa seorang pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair dipercayai asid.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu pada Khamis, Akhyar, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.

IKLAN

Suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera kemudian dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI