Pelakon filem The Hunger Games, Ethan Jamieson, ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam insiden tembakan yang menyasarkan sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki di Raleigh, North Carolina.
Berdasarkan dokumen mahkamah, lelaki berusia 27 tahun itu berdepan tiga pertuduhan jenayah berat kerana melakukan serangan menggunakan senjata berbahaya dengan niat membunuh.
Penahanan tersebut dibuat pada 8 April lalu susulan siasatan terhadap kejadian yang dilaporkan berlaku pada 22 Mac.
Siasatan yang dijalankan oleh Raleigh Police Department mendapati suspek dipercayai melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan mangsa ketika mereka sedang bergerak.
Ads
Ketika kejadian, suspek dilaporkan menaiki sebuah basikal elektrik manakala tiga individu berada di dalam kenderaan tersebut.
Kes berkenaan turut dikaitkan dengan penggunaan pistol separa automatik jenis 9 milimeter. Identiti tiga mangsa direkodkan sebagai E.F., J.M. dan K.W. dalam dokumen rasmi mahkamah
Ads
Pada 9 April, mahkamah menolak permohonan ikat jamin terhadap tertuduh, manakala prosiding seterusnya ditetapkan pada 30 April bagi tujuan pendengaran lanjut kes.
Dalam rekod terdahulu, Jamieson pernah ditahan pada Mac 2025 atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di lokasi sama.
Ads
Hukuman bagi kes tersebut dijatuhkan pada 26 Mac 2026, hanya beberapa hari selepas insiden tembakan terbaharu yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Sekadar info, selain berlakon dalam filem The Hunger Games, dia juga membintangi naskhah lain seperti The Rusty Bucket Kids: Lincoln, Journey to 16 (2010) dan siri TV, Justified.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dikenali sebagai pengarah iklan komersial yang berpengaruh, nama Bobby Husaini sememangnya tidak asing dalam kalangan syarikat korporat yang sering mendapatkan sentuhan kreatifnya bagi menghasilkan karya berimpak tinggi, khususnya menjelang musim perayaan.
Dalam usaha membawa kelainan ke dalam industri perfileman tempatan, beliau kini tampil dengan filem sulung berjudul Libang Libu.
Selepas lebih dua dekad membina kerjaya dalam dunia komersial, anak kelahiran Ipoh, Perak ini merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri dan membuktikan kemampuan pada skala yang lebih besar.
Walau bagaimanapun, peralihan ke dunia pengarahan filem tidak bermaksud dirinya meninggalkan bidang komersial sepenuhnya.
Sebaliknya, langkah ini dilihat sebagai usaha memperluas horizon kreatif serta memperkukuh portfolio seni beliau.
“Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan (copywriter). Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza.
“Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan, dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya.
“Kemunculan saya sebagai pengarah filem bukan bermakna saya meninggalkan dunia iklan. Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang baharu.
“Saya masih mahu terus mengarah iklan, dan pada masa sama menunaikan impian untuk mengarah filem,” katanya.
Mengulas mengenai skeptikal segelintir pihak yang beranggapan sentuhan iklannya mungkin terlalu ketara dalam filem ini, Bobby mengakui tanggapan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk disangkal.
Namun begitu, Bobby melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan melalui karya.
“Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini. Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.
“Jujurnya, ini risiko yang akan dihadapi oleh semua pengarah iklan seperti saya. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tidak kira iklan atau filem, saya akan menghasilkan karya berdasarkan apa yang saya rasa.
Ramai mengatakan iklan saya sedih, tetapi itu bukan tujuan utama saya. Sebenarnya, setiap karya yang dihasilkan membawa mesej yang dekat dengan masyarakat, dan mungkin itu yang membuatkannya terasa menyentuh hati,” jelasnya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai Libang Libu yang bakal ditayangkan pada 23 April ini, tidak dinafikan terdapat pandangan yang melihat gaya penceritaannya seakan-akan menyamai sentuhan karya Allahyarham Mamat Khalid.
Namun bagi Bobby, perbandingan tersebut dianggap sebagai satu penghormatan, di samping beliau tetap mengekalkan identiti dan gaya tersendiri dalam naskhah sulungnya itu.
“Arwah adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau.
“Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita.
“Mengapa Perak? Lokasi penggambaran adalah kampung saya, jadi secara tidak langsung filem ini sangat dekat dengan kehidupan awal saya ketika kecil,” ujarnya.
Selain jalan cerita yang segar, kekuatan filem ini turut didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda.
Menurut Bobby, pemilihan pelakon memainkan peranan penting, terutama apabila ada pihak yang menganggap Libang Libu sekadar sebuah karya komedi.
“Saya suka bekerja dalam suasana selesa, dan apabila pelakon mampu memberikan yang terbaik, ia memudahkan semua pihak.
“Bila melihat Libang Libu, ada yang membayangkan ia sekadar sebuah filem komedi, tetapi di sebaliknya terdapat banyak isu yang cuba diketengahkan dalam filem ini.
“Jadi, setiap watak dalam Libang Libu ini penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton. Cabaran paling besar bagi saya bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri.
“Namun, sejak awal lagi saya telah berpesan kepada para pelakon agar tidak terlalu tertekan mengenainya, kerana kita juga mahu penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penerbit Eksekutif dan Pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026, Puan Sri Tiara Jacquelina, meluahkan keterujaannya selepas melihat sambutan luar biasa daripada para peminat sejurus teaser pertama karya ikonik itu dilancarkan baru-baru ini.
Kini, PGLM 2026 terus melangkah ke hadapan dengan pelancaran teaser kedua yang memberi fokus kepada pencarian barisan pelakon daripada generasi baharu.
Menurut Tiara, Puteri Gunung Ledang sememangnya memberikan impak besar dalam perjalanan kerjaya seninya sejak pertama kali karya itu dibawa ke layar perak pada 2004.
“Bagi saya, karya ini bukanlah sekadar sebuah filem atau pementasan muzikal. Ia adalah perjalanan kreatif paling mendalam dan bermakna dalam hidup saya.
“Sejak 2004, saya membawa bersama kisah ini, dunianya, serta begitu banyak kenangan indah. Alhamdulillah.
“Mungkin itu juga sebabnya apabila melihat semula limpahan kasih sayang dan keterujaan ini, hati saya benar-benar tersentuh dan terharu.
“Seakan-akan sesuatu yang berharga, yang selama ini tersimpan tenang dalam hati kita, kini perlahan-lahan kembali ‘bernyawa’,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Tiara membuka peluang seluas-luasnya kepada para pelakon, khususnya generasi muda, untuk menyerlahkan bakat dan menjadi sebahagian daripada karya ikonik ini.
“Pementasan baharu ini bukan sekadar menghidupkan semula sebuah karya yang dicintai, tetapi juga membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyelami dunia Puteri Gunung Ledang dan menjadikannya milik mereka dengan cara tersendiri,” katanya lagi.
Watak-watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan kini menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu.
“Saya juga tidak sabar untuk melihat siapa yang akan menyerlah. Saya kini menanti-nantikan suara-suara dan wajah-wajah baharu yang bakal membawa kisah ini ke fasa seterusnya.
“Uji bakat kini dibuka secara rasmi, dan saya berharap perjalanan ini akan menemukan kita dengan bakat-bakat baharu yang luar biasa,” ujarnya lagi.
Tiara turut menegaskan, peluang untuk terlibat dalam produksi sebesar ini bukan sesuatu yang datang selalu.
Maklumat penuh mengenai uji bakat boleh didapati menerusi akaun @pglthemusical di semua platform media sosial.
Sebagai rekod, Puteri Gunung Ledang bermula sebagai filem epik sebelum berkembang menjadi fenomena teater muzikal yang berjaya mencatatkan persembahan ‘sold-out’, selain menawan hati penonton di pelbagai negara.
Pementasan ini pernah disaksikan lebih 100,000 penonton, meraih pelbagai anugerah serta diangkat sebagai antara muzikal paling ikonik dalam sejarah seni persembahan tanah air.
Pementasan baharu ini sekali gus menandakan permulaan babak baharu bagi legenda tersebut, dengan pencarian pelakon baharu kini dibuka bagi menyuntik nafas segar kepada karya agung ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Datuk Aaron Aziz menafikan dakwaan dirinya kini tidak lagi berminat untuk terlibat dalam drama televisyen.
Menurut Aaron, dia sebenarnya sentiasa terbuka untuk membintangi mana-mana projek drama, asalkan jalan ceritanya menarik dan bersesuaian dengan peringkat usianya ketika ini.
“Bukanlah nak kata yang saya tidak mahu berlakon di dalam projek drama lagi. Saya sebenarnya tak nak bawa watak-watak seperti jatuh cinta dengan orang kampung, bercinta dengan pembantu rumah dan sebagainya.
“Kalau boleh, saya nak elak. Saya rasa boring bila asyik buat perkara sama. Namun, kalau ada projek drama yang best, sudah tentu saya terima.
“Kita tak boleh nak sombong sangat bila bab rezeki ini,” katanya kepada MH.
Pelakon filem KL Gangster itu berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka iQIYI, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aaron menjelaskan dia juga kini berusaha mengelakkan daripada melakonkan adegan bersentuhan atau babak romantis yang keterlaluan.
“Pada saat ini, saya tidak mahu lagi melakukan adegan dukung mendukung bersama pelakon wanita. Kalau boleh nak ada batas. Jika perlu bersentuhan pun, biarlah berlapik.
“Semalam saya ada melakonkan adegan mencekik tapi pelakon wanita itu memakai hoodie. Saya boleh mengelakkan bersentuhan.
“Ini merupakan keputusan bersama saya dan isteri. Usia saya sudah mencecah 50 tahun. Kuburkan sudah memanggil. Kita kena jagalah apa yang sepatutnya,” ujarnya lagi
Dalam masa sama, aktor kelahiran Singapura itu turut meluahkan rasa syukur apabila pendiriannya itu kini semakin difahami dan dihormati oleh pihak produksi.
“Sebenarnya sudah lama saya cuba nak praktikkan cara ini. Namun, kadang-kadang pengarah ada kehendaknya.
“Jadi, saya pun terpaksa buat dan ikutkan sahaja. Namun, ia tidaklah keterlaluan seperti waktu dahulu.
“Adegan berpeluk atau terlalu rapat, saya akan cuba elak. Selagi boleh guna helah kamera, kita buat cara itu sahaja.
“Pihak produksi pun sudah faham. Kontrak dengan manusia kita jaga, kontrak dengan Allah pula kita tak jaga,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Enggan terus berada di takuk lama, penyanyi Haqiem Rusli menegaskan dirinya kini bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu dan keluar daripada zon selesa demi memastikan kerjayanya terus berkembang.