
Ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Edry Abdul Halim menyifatkan kemenangan lagu Hening Rindu yang disampaikan penyanyi Marsha Milan malam tadi disebabkan kelebihan dari sudut teknikal.
Menurut Edry, lagu ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Salleh ini berjaya digarap dengan baik seiringan dengan kualiti vokal Marsha.
“Kita adakan dua sesi penjurian untuk pentas akhir ini. Kita ada penilaian lagu dahulu supaya tidak dipengaruhi dengan persembahan. Kelebihan lagu Marsha banyak terletak dari sudut teknikal.
“Banyak elemen-elemen muzikal yang membantu lagu itu mendapat markah yang lebih contohnya dari segi progression, coding, suara dan gubahan. Vokal yang baik juga membantu menaikkan persembahan tersebut.
“Gabungan komposer, penulis lirik dan penyanyi harus lengkap. Mungkin itu kelebihan yang ada pada lagu Hening Rindu,” katanya kepada MH.
Edry yang juga anggota KRU itu berkata sedemikian pada majlis sidang media AJL39 di Axiata Arena pada Ahad.
Dalam pada itu, Edry turut memuji kualiti persembahan kesemua finalis kerana berjaya memberi saingan sengit.
“Saya gembira kerana AJL kali ini sangat kompetetif setiap lagu itu ada kehebatan masing-masing. Semangat ini yang kita mahukan,” katanya lagi.
Pesan Juri
Sementara itu, Edry turut meminta para penyanyi yang ingin bertanding di AJL untuk mencari idea baharu dan bukan sekadar menumpukan terhadap nada tinggi.
“Jangan buat perkara yang sudah dibuat. Saya rasa terlalu banyak finalis yang nak buat vokal stunt dimana mereka berhenti seketika kemudian tarik nota tinggi. Trend ini sudah ada sejak zaman Black lagi.
“Kita kena teroka idea-idea baharu. Ada kalanya kita tak perlu capai nota tinggi. Lebih baik kita jaga kualiti vokal. Itu yang dibuat oleh Marsha. Vocal stunt itu okay tapi tak perlu terlalu banyak,” ujarnya.
Pada masa sama, Edry turut menuntut finalis untuk mematuhi peraturan masa persembahan agar penjurian dapat dibuat dengan adil saksama.
“Saya difahamkan ada gubahan lagu yang dibuat dalam format yang lebih panjang. Ini nasihat saya, pertandingan ini ada undang-udang.
“Kadang-kadang anda gubah lagu itu terlalu panjang atau melebihi durasi yang dibenarkan. Kami perlu mengambil kita markah teknikal juga.
“Tak adil buat peserta lain. Kalau penyanyi itu dapat tambahan dua minit, orang lain pun nak juga. Faktor-faktor ini juga yang mempengaruhi keputusan juri,” akhirinya.
Terdahulu, lagu Hening Rindu berjaya mencipta kejutan apabila dinobatkan selaku juara AJL39.
Tempat kedua pula dimenangan oleh Nadeera Zaini menerusi lagu Bukan Lagi kita manakala dikedudukan ketiga pula dimenangi oleh Akim & The Majistret.
Sementara itu, anugerah vokal terbaik dan persembanan terbaik pula masing-masing dimenangi oleh penyanyi terkenal, Ernie Zakri dan Aina Abdul.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI