
Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin kini muncula dengan single terbarunya, Lelaki Terakhir, iaitu sebuah lagu balada romantik yang mengisahkan tentang cinta sejati, kesetiaan, dan perjuangan dalam sebuah hubungan.
Lebih istimewa, lirik video Lelaki Terakhir yang dilancarkan di platform YouTube pada 21 Februari lalu berjaya menduduki carta trending bagi kategori muzik.
Syukur Sambutan Baik
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu ini. Saya tidak menyangka lagu ini akan diterima begitu baik dan trending di YouTube dalam masa singkat.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong lagu ini.
“Sejujurnya, perjalanan menghasilkan lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan pasukan yang hebat dan peminat, saya berasa lebih bersemangat untuk terus berkarya.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” katanya.
Lirik Penuh Makna
Menggunakan bait lirik puitis dan melodi yang menyentuh jiwa, Lelaki Terakhir menampilkan sisi emosional Fattah sebagai lelaki yang berjanji untuk sentiasa menjaga dan melindungi cinta sejatinya.
Dengan elemen muzik yang indah dan susunan melodi yang mendalam, lagu ini dicipta oleh komposer dan produser muzik yang pernah mencipta lagu Wanita Terakhir iaitu Mel Ramlan.
Lebih menarik, Lelaki Terakhir turut mendapat sentuhan lirik oleh Fattah sendiri.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat.
“Saya harap lagu ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar. Lelaki Terakhir menampilkan gabungan muzik moden dengan sentuhan balada klasik, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia.
“Tujuan lagu ini dihasilkan dan dikeluarkan juga kerana lagu ini ialah runut bunyi untuk drama bersiri terbaru lakonan saya dalam Keluarga Itu arahan Nur Ain Sharif dan ditulis oleh Eirma Fatima.
“Ia akan mula ditayangkan pada 28 Febuari ini di slot eksklusif TV3 terbitan Rumah Karya Citra Sdn.Bhd,” katanya lagi.
Boleh Didengari Semua Orang
Lelaki Terakhir menonjolkan vokal Fattah yang semakin matang dalam menyampaikan emosi dan makna di sebalik setiap bait lirik.
Single ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lain-lain.
Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan dalam masa terdekat di saluran YouTube rasmi Fattah Amin.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI